Status representasi Sharnaaz gugur pertuduhan diketahui 5 Mei

Iklan
Sharnaaz Ahmad - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini pada Isnin menetapkan 5 Mei untuk mengetahui status representasi pelakon, Sharnaaz Ahmad bagi menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lepas.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menetapkan tarikh itu selepas peguam, Mohamed Baharuden Mohamed Ariff yang mewakili Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Iklan
Iklan

"Pihak pembelaan akan menghantar representasi itu kepada AGC. Oleh demikian, kami memohon satu tarikh untuk kami menghantar representasi tersebut dan menunggu keputusan (representasi) itu," katanya semasa sebutan kes itu yang hadir bersama seorang lagi peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan pihaknya telah menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan hari ini dan perkara itu disahkan oleh peguam, Mohamed Baharuden.

Iklan

Pelakon drama bersiri 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.

Sharnaaz dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Ketika ditemui media, Abu Bakar berkata, pihaknya akan memfailkan representasi itu dalam masa dua minggu selepas meneliti segala dokumen berkaitan pertuduhan tersebut.

"Pihak kami akan memfailkan representasi itu dan draf representasi telah pun siap. Pihak kami antaranya memohon agar pertuduhan digugurkan atau memohon satu bon untuk anak guam jika dibenarkan," kata peguam itu. - Bernama