'Bola lompat-lompat, macam katak' – Teong Kim

Iklan
Aksi pemain kedua-dua pasukan pada aksi Liga Super 2023 di Kota Bharu pada Sabtu. - Foto KUFC (Gambar kecil: Teong Kim)

"DALAM bola ada banyak katak, melompat-lompat."

Itu yang digambarkan oleh Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim berikutan keadaan padang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini didakwa tidak rata hingga menyukarkan aksi The Bos Gaurus untuk menghasilkan gol kemenangan semasa menentang Kelantan United FC, petang Sabtu.

Iklan
Iklan

"Padang di sini memang susah nak main bola kerana tak rata. Bola lompat-lompat, jadi nak main kombinasi bola sepak seperti kita biasa bermain susah. Walaupun kita seri tapi kita cuba membina bermain bola.

"Corak kombinasi menjadi semakin sukar berbanding straight forward sambil mengharapkan lawan buat kesilapan dan kemudian jaringkan gol, tetapi kita tidak memilih cara itu kerana penonton mahukan aksi terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat 90 minit permainan yang mengikat kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

Iklan

Bagaimanapun, pengendali itu turut berpuas hati dengan aksi skuad kendaliannya selain mengakui kepayahan memperoleh gol kemenangan di laman lawan yang nyata turut sama mengasak bagi menghasilkan gol untuk meraih tiga mata.

"Rumput dah cantik, kalau rata memang baguslah, baik untuk mereka dan kami juga,” katanya.

Iklan

Beliau menegaskan masalah fasiliti yang dibangkitkan itu bukan juga satu alasan untuk menutup kegagalan mendapatkan gol semata-mata pada perlawanan itu.

"Ini kenyataan, boleh pergi lihat sendiri padang yang perlu diperbetulkan itu,” katanya.

Setakat ini, secara keseluruhan, kedua-dua pasukan belum merekodkan sebarang kemenangan dengan Kelantan United mencatat dua kekalahan, satu seri manakala Perak pula tewas satu dan seri dua perlawanan.