Rasuah tengah laut: SPRM tahan seorang lagi penjawat awam

Iklan
Seorang lagi penjawat awam ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan industri perikanan negara. - Foto SPRM

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi suspek di Kedah bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan industri perikanan negara.

Menurut sumber, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot nelayan yang melakukan kesalahan bawah Akta Perikanan 1985 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.

Iklan
Iklan

Lelaki terbabit dipercayai bertugas sebagai pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan di Langkawi, ditahan ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM, Kedah kira-kira jam 9.30 pagi Selasa.

Sumber berkata, penahanan suspek dalam satu operasi khas dikenali sebagai Op Tunda di Kedah menjadikan jumlah tangkapan membabitkan penjawat awam kepada enam orang manakala selebihnya lima orang awam.

Iklan

Menurutnya, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pada Rabu untuk permohonan reman.

Perintah reman dibenarkan selama lima hari bermula Selasa hingga 5 Mac 2023 oleh Majistret Nurshahida Abd Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Semalam, Sinar Harian melaporkan 10 individu termasuk lima kakitangan agensi penguatkuasaan direman selama lima hari bermula Selasa bagi membantu siasatan kes rasuah.

Kesemua mereka berusia antara 26 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkaitan industri perikanan negara.

Pada Isnin, SPRM melakukan pendedahan menggemparkan apabila berpuluh kakitangan dan pegawai penguat kuasa dikesan menerima suapan duit haram secara bulanan lebih lima tahun lalu.

Kegiatan itu berjaya dikesan susulan risikan dilakukan terhadap tiga agensi penguatkuasaan membabitkan agensi Jabatan Perikanan, Pasukan Gerakan Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Difahamkan, kakitangan tiga agensi itu dikesan menerima rasuah diberikan pemilik bot nelayan dan pengusaha sangkar ternakan ikan dalam bentuk wang tunai.