Khairul Azwan umum pasukan lawan anak Tajuddin

Iklan
Khairul Azwan (tengah) bersama ahli pasukannya yang akan bertanding bagi pemilihan UMNO Bahagian Pasir Salak pada 18 Mac depan.

IPOH - Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Salak dijangka panas apabila menyaksikan pertembungan dua pasukan di antara Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua UMNO Bahagian, Dr Faizal Tajuddin.

Khairul Azwan yang akan bertanding ketua UMNO bahagian dalam satu kenyataan mengumumkan pasukannya terdiri daripada calon timbalan ketua UMNO bahagian sehinggalah calon naib ketua Puteri UMNO bahagian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, senarai calon dikemukakan itu dianggap sebagai pasukan baharu yang membawa visi untuk memperkasa UMNO Bahagian Pasir Salak.

"Kami komited dan bertekad untuk memperkenalkan pembaharuan dan penambahbaikan terhadap corak kepimpinan serta pendekatan kami dalam mengurus parti dan khidmat bakti kami kepada masyarakat di Pasir Salak," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, pasukan berkenaan menampilkan calon iaitu Ramelle Ashram Ramli bagi jawatan timbalan ketua UMNO bahagian, Mohd Nazari Sabran bagi jawatan naib ketua UMNO bahagian, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Ketua wanita), Mohd Yafiz Mohamad Mustapa (Ketua pemuda) dan Nor Azuwa Sulaiman (Ketua puteri).

Bagi calon naib ketua wanita UMNO bahagian pula, pasukan tersebut menamakan Suhaili Suib diikuti Mohd Farid Mohd Hayati bagi calon naib ketua pemuda dan Saila Mohd Saleh untuk jawatan naib ketua puteri.

Iklan

Sementara itu, Khairul Azwan yang juga bekas calon Parlimen Parlimen Pasir Salak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga turut mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO sesi 2023-2026.

"Berbekalkan dengan sedikit pengalaman lalu, sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO sesi 2013-2018, saya ingin terus menyumbang tenaga dan buah fikiran serta mengukuhkan semangat kebersamaan dengan pucuk pimpinan parti," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan anak sulung bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman iaitu Faizal mengesahkan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak pada pemilihan yang akan berlangsung pada 18 Mac depan.