Mara biaya RM36.69 juta usahawan industri halal - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) ketika melawat perusahaan di Kimar pada Selasa

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan sebanyak RM36.69 juta kepada 663 usahawan industri halal bagi membantu mereka membangunkan perusahaan tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perbadanan itu turut mengatur pelbagai strategi dalam menyediakan prasarana yang menyokong kepada pembangunan industri berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya berasa bangga apabila dimaklumkan yang Mara mempunyai hampir keseluruhan daripada yang saya sebutkan tadi,” katanya semasa lawatan kerja di Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar) pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata, nilai pasaran halal domestik Malaysia diunjurkan meningkat kepada RM400 bilion sekali gus menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Iklan

Justeru, ia membuka ruang untuk kemajuan pasarannya meningkat bagi memberi faedah kepada umat Islam di peringkat antarabangsa.

"Peluang bagi pembangunan industri halal sentiasa terbuka luas berikutan perdagangan halal di pasaran global diunjurkan mencecah RM22.34 trillion sehingga tahun 2030 dengan jumlah penduduk Islam di seluruh dunia yang dianggarkan mencapai 1.6 bilion,” ujarnya.

Iklan

Jelas beliau, industri itu dikenal pasti sebagai sektor berimpak tinggi yang akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan Malaysia dalam meningkatkan pembangunan tenaga kerja, memacu pembangunan industri serta meningkatkan daya saing produk.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut mengumumkan kelulusan kepada permohonan Mara untuk meningkatkan voltan elektrik di Kimar bagi merancakkan lagi produktiviti makanan halal di kilang tersebut.

"Saya berharap dengan ini, Kimar akan dapat selangkah ke hadapan dalam industri halal,” ujarnya.