Menu Rahmah untuk semua - Salahuddin

Iklan
Salahuddin bersama Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh dan Ameer Ali ketika melancarkan Menu Rahmah di Pasaraya Mydin.

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan harga serendah RM5 dapat membantu setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kumpulan pendapatan mahupun taraf kehidupan rakyat.

Menteri berkenaan Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu berkata, usaha diperkenalkan di bawah Payung Rahmah itu dapat meringankan beban dan amat bermakna kepada mereka yang memerlukan.

Iklan
Iklan

"Kita juga tak namakan itu menu B40, semua orang boleh menikmati hidangan itu kerana kita ingin menjaga juga air muka dan maruah B40. Ini adalah hidangan untuk semua...Rahmah for all, Rahmah untuk semua," katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu mendapat sambutan baik daripada rakyat dan peniaga termasuk rangkaian makanan segera serta gerai-gerai di hentian Rehat dan Rawat (RnR) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Iklan

Sementara itu, Salahuddin berkata, pihak kementerian perlu menjalin kerjasama rentas kementerian bagi menyelesaikan isu kos sara hidup.

"Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bertanggungjawab dalam kos sara hidup, kami sedang berusaha keras," katanya.

Iklan

Katanya selain KPDN 14, kementerian lain turut terlibat dalam sesi penggulungan hari ini, antaranya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

Persidangan dewan bersambung esok.