MCMC buka kertas siasatan terhadap Awesome TV

Iklan
Siaran media MCMC

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 berhubung laporan diterbitkan stesen televisyen Awesome TV.

MCM dalam kenyataan pada Selasa berkata, siasatan tersebut berkaitan kegagalan mematuhi syarat lesen.

Iklan
Iklan

"Satu kertas siasatan akan dibuka oleh MCMC di bawah Seksyen 206 AKM 1998 iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen.

"Apabila kertas siasatan dilengkapkan, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut," katanya.

Iklan

Pada Isnin media melaporkan MCMC mengadakan pertemuan dengan saluran televisyen tempatan, Awesome TV bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau difahamkan Awesome TV telah melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

Iklan

Tambah kenyataan itu, MCMC memandang serius aduan pengguna dan komited dalam usaha mempertingkat tahap pematuhan pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I).

"Ia bagi memastikan kandungan yang disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma-norma masyarakat selaras dengan AKM 1998 dan Kod Kandungan.

"Setiap aduan yang diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan-peraturan yang berkaitan di bawahnya dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan," ujarnya.

Jelas kenyataan itu, antara tatacara atau proses aduan dibuat adalah seperti memanggil pihak penyiar yang diadukan untuk tampil mengemukakan penjelasan bagi menentukan bentuk tindakan penguatkuasaan yang akan diambil.