MPFN tiada kuasa meluluskan, hanya menasihat: KM

Iklan
Kon Yeow menunjukkan buku Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang dirujuknya berhubung tugas MPFN pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri, hari ini.

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menegaskan bahawa Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan cadangan projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) di negeri ini.

Sebaliknya, tugas MPFN hanya menasihati kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri mengenai perkara membabitkan perancangan bandar dan desa yang dikehendaki mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau hanya mengumumkan bahawa badan tersebut bersetuju untuk melaksanakan cadangan projek tersebut dengan 18 nasihat, bukannya sudah meluluskannya.

Menurutnya, soal kelulusan tentang projek mega itu tidak timbul berikutan kerajaan negeri hanya perlu memenuhi kesemua nasihat MPFN sebelum projek itu dijalankan.

Iklan

"Ya benar, saya bersetuju dengan kenyataan menteri bahawa MPFN tidak meluluskan projek PSR dan saya juga mengumumkannya semalam. MPFN hanya beri nasihat sahaja. Saya tidak menyebut bahawa projek itu diberi kelulusan sebaliknya hanya bersetuju dengan cadangan projek berserta 18 nasihat.

"Di bawah undang-undang, semua kerajaan, jabatan atau agensi perlu mendapatkan nasihat MPFN mengenai cadangan pembangunan antaranya penambakan pantai, pembinaan lapangan terbang dan pembinaan lebuhraya," katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bahawa MPFN tidak membuat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas cadangan projek PSR.

Khalid berkata, permohonan berkenaan juga perlu mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) daripada agensi yang berkenaan.

Menurutnya, Khalid ada menghubunginya untuk mengeluarkan kenyataan tersebut kepada media dan beliau tidak membantah tindakan itu.

"Saya memberitahunya bahawa saya tidak mempunyai sebarang halangan atau bantahan. Malah tidak ada keperluan untuk mempertikaikan perkara itu. MPFN pun tidak sebut Pulau Pinang tak boleh laksana projek PSRS.

"Kita perlu memenuhi 18 nasihat dan projek boleh dijalankan. Saya rasa, lebih baik kita tunggu minit mesyuarat MPFN (untuk mengetahui apa yang berlaku dalam mesyuarat).

Kon Yeow berkata, buat masa ini, kerajaan negeri bersama rakan pelaksana projek, SRS Consortium akan mula menjalankan kerja mereka bentuk, berkenaan isu teknikal dan seni bina kewangan selepas mendapat persetujuan tersebut.

"Kita perlu berusaha keras untuk memenuhi 18 nasihat berkenaan. Ia bukan mudah. Malah untuk membentangkan cadangan projek tersebut dalam MPFN juga tidak mudah, kita terpaksa menunggu sehingga tiga tahun.

"Kerajaan negeri tidak akan melakukan sebarang kerja sebelum mendapat semua kelulusan yang diperlukan dalam 18 nasihat tersebut," katanya.