Nurul Izzah layak dilantik Penasihat Ekonomi, Kewangan - Anwar

Iklan
Anwar

IPOH - Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat berdasarkan kelayakannya.

Anwar berkata, ini kerana anaknya itu mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, sekali gus dilantik bagi membantunya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, Nurul Izzah tidak menerima sebarang elaun atas pelantikannya itu.

"Jadi, apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti seorang doktor? Dan seorang menteri air mesti jurutera? Untuk Nurul Izzah, dia ada ijazah kejuruteraan dan ijazah bidang dasar awam. Memang saya minta, pelawa dia untuk bantu saya sebagai penasihat di JPM dan MOF,” katanya.

Iklan
Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian selepas merasmikan Pusat Khidmat Parlimen Tambun di sini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Mohamad Arafat Varisai Mahamad.

Terdahulu, Nurul Izzah mengesahkan pelantikannya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dan memulakan khidmatnya berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Sementara itu, Anwar dalam ucapan perasmiannya berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarah mengambil tindakan kepada pihak yang terbabit dalam amalan rasuah tanpa mengambil kira parti dan jawatan pihak berkenaan, termasuk pihak yang bertugas di Pejabat Perdana Menteri.

Iklan

"Mula daripada atas, daripada Perdana Menteri sampai Menteri, Menteri Besar, kerajaan negeri dan wakil rakyat hentikan amalan dan budaya rasuah ini," katanya. - Bernama.