Bertimbang rasa ketika di atas jalan raya

Iklan
Foto hiasan 123RF

KEMALANGAN melibatkan kereta Perodua Myvi dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream di Kilometer 71 Jalan Batu Pahat-Mersing, Mersing pada Ahad amat menyayat hati terutamanya ketika negara ini dalam suasana cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Insiden itu mengorbankan enam orang termasuk dua kanak-kanak, serta lima mengalami kecederaan. Mangsa yang maut ialah Masrina Kahdar, 21, Muhammad Zharfah Noramin, 16, Muhammad Adil Abdul Kadir, 23, Siti Nurzannah Kahdar, 25 dan Mohammad Ashraf Radiq Abdullah serta Muhammad Syakir Noramin masing-masing berusia 11 tahun.

Iklan
Iklan

Punca kejadian dipercayai akibat Perodua Myvi yang hilang kawalan lalu melanggar Honda Stream dari arah bertentangan. Ia menyebabkan Honda Stream berkenaan terbalik di bahu jalan.

Penulis yang baru kehilangan nenek akibat sakit tua juga berasa sedih dan pilu, apatah lagi mereka yang kehilangan ahli keluarga dengan jumlah yang ramai secara serentak.

Iklan

Berita mengenai kemalangan maut ini saban hari berlaku di negara ini.

Bagaimanapun, pada musim-musim perayaan apabila orang ramai pulang ke kampung atau pergi bercuti, jumlah mangsa melibatkan bilangan ahli keluarga yang maut juga ramai.

Iklan

Menurut laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kematian akibat kemalangan di jalan raya di dunia adalah sangat tinggi.

Laporan itu turut menyatakan jumlah puratanya iaitu sekitar 1.35 juta orang setahun. Secara purata, sekitar 20 orang maut setiap hari di jalan raya di Malaysia.

Lebih membimbangkan, majoriti mangsa terdiri daripada golongan muda yang berusia lingkungan lima hingga 29 tahun. Negara pasti kerugian kerana kehilangan sumber kerja yang produktif ketika usia sebegini.

Persoalannya, mengapa kemalangan maut banyak terjadi di negara ini?

Secara umumnya, punca kemalangan trafik adalah disebabkan oleh sikap individu itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk, mengantuk atau tidak sedarkan diri.

Ini tidak termasuk golongan yang memandu secara melulu dan laju tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain. Akibat sikap mementingkan diri sendiri, orang lain pula yang mendapat bala.

Malaysia yang mempunyai kadar taburan hujan yang tinggi juga menjadi punca kemalangan berlaku.

Jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan kerana lebih licin lalu sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati.

Justeru, bagi mengurangkan risiko di jalan raya, orang ramai dinasihatkan menggantikan tayar kenderaan yang botak sebelum membuat perjalanan terutamanya perjalanan jauh.

Sebaiknya, pilihlah tayar yang berkualiti dan mampu berfungsi dengan baik ketika hujan.

Ketika hujan juga, penglihatan pengguna terhad dan keadaan jalan raya yang berlubang juga boleh mengundang kecelakaan.

Pada musim perayaan, jumlah kemalangan bertambah juga berkaitan dengan jumlah kenderaan yang bertambah setiap tahun.

Pertambahan bilangan kenderaan menjadikan lalu lintas begitu sibuk dan penuh dengan kenderaan. Ketika ini, emosi dan ketahanan mental pemandu turut teruji.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Nasri Omar, sebanyak 7,180 kemalangan membabitkan 58 kematian, 33 parah dan 250 cedera ringan direkodkan sepanjang empat hari Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina di seluruh negara.

Beliau berkata, statistik bermula 18 hingga 21 Januari itu menyaksikan sebanyak 7,180 kemalangan direkodkan membabitkan 9,198 kenderaan. Daripada jumlah itu, sebanyak 52 kematian direkodkan.

Op Selamat 19 ini akan berjalan selama 10 hari mulai 18 sehingga 27 Januari 2023 secara serentak di seluruh negara.

Bagi mengurangkan kemalangan pada musim perayaan ini, selain menambah bilangan anggota, pihak berkuasa turut melakukan pemantauan dron.

Di Kelantan misalnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan berjaya mengesan kesalahan melibatkan melanggar lampu isyarat merah dan memotong garisan berkembar.

Ketika cuti Tahun Baharu Cina masih berterusan, pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan cermat agar tidak menjadi penyumbang statistik kemalangan di musim perayaan ini.

Paling utama, sentiasalah bertimbang rasa ketika memandu dan ingatlah bahawa jalan raya ini dikongsi bersama.

* Mohd Nasri Jamaludin ialah Editor Pengisian Sinar Harian