58 maut dalam tempoh empat hari Op Selamat 19

Iklan
Mohd Nasri (tengah) meninjau pelaksanaan penggunaan dron ketika pelaksanaan Op Selamat 19 di seluruh negara.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 7,180 kemalangan membabitkan 58 kematian direkodkan sepanjang empat hari Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina di seluruh negara.

Timbalan Pengarah (1) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, statistik bermula 18 hingga 21 Januari itu membabitkan 52 kemalangan maut.

Iklan
Iklan

"Tempoh terbabit telah mencatatkan, 58 kematian, 33 parah dan 250 cedera ringan.

"Kemalangan yang dilaporkan ini membabitkan 9,198 jumlah kenderaan," katanya pada Ahad.

Iklan

Op Selamat 19 ini akan berjalan selama 10 hari mulai 18 sehingga 27 Januari 2023 secara serentak di seluruh negara.

Pada 13 Januari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain merasmikan Pelancaran Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina di Restoran Jejantas, Ayer Keroh, Melaka (arah selatan), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Iklan

Dengan mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menumpukan usaha untuk meminimumkan kemalangan jalan raya dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

Bagi mengurangkan kes kemalangan, PDRM menerusi JSPT akan mengaplikasikan pendekatan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah di samping memastikan kelancaran lalu lintas demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Sepanjang pelaksanaan Op Selamat 19 juga, semua elemen JSPT termasuklah bantuan daripada Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM akan digerakkan secara optimum bagi membantu menyuraikan trafik selain pemantauan dan menunjukkan kehadiran pihak berkuasa di kawasan yang dijangka berlakunya kesesakan.