MAIS syukur berjaya rayu kembalikan status agama wanita

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Abdul Aziz

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meluahkan kesyukuran apabila berjaya dalam rayuan untuk mengembalikan status agama Islam seorang wanita berusia 37 tahun.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, keputusan tersebut dilihat sebagai suatu pengukuhan pengiktirafan terhadap kedudukan Mahkamah Syariah.

Iklan
Iklan

"Ia adalah sistem perundangan di Malaysia yang perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat.

"MAIS juga menasihatkan masyarakat agar tidak menyalahgunakan proses mahkamah dan sentiasa menghormati kedudukan Mahkamah Syariah sebagai suatu institusi keadilan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Pada Jumaat, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan MAIS dan kerajaan negeri untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan penukaran agama wanita tersebut.

Abdul Aziz berkata, mahkamah bersetuju bahawa cabaran terhadap keputusan Mahkamah Syariah tersebut ke Mahkamah Tinggi Sivil adalah bersifat 'res judicata' dan satu penyalahgunaan proses mahkamah oleh responden.

Iklan

"Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam tidak boleh mengubah atau mengakas keputusan yang telah diputuskan secara sah oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Perkara ini bercanggah dengan Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan ini, responden adalah kekal sebagai seorang yang beragama Islam," ujarnya.

Mengikut fakta kes, wanita tersebut telah didaftarkan Islam sejak kecil oleh ibunya pada 1991.

Responden kemudiannya telah pun memfailkan permohonan pengisytiharan bahawa dia bukan lagi seorang Islam di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur).