Lelaki ditahan ketika leka jual air ketum di kedai makan

Iklan
Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran air ketum di sebuah kedai makan di Bayan Lepas, pada Rabu. - Gambar hiasan

BALIK PULAU - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran air ketum dan merampas 37.5 liter air ketum daripadanya dalam serbuan di sebuah kedai makan di Bayan Lepas, di sini pada Rabu.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, polis membuat intipan dan risikan sejak seminggu lepas sebelum menyerbu premis itu serta menahan lelaki berusia 43 tahun berkenaan.

Iklan
Iklan

"Keseluruhan air ketum dirampas ialah 150 bungkus yang dianggar sebanyak 37,500 mililiter bernilai lebih RM1,000," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan lelaki berkenaan kini direman empat hari bagi siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Iklan

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan seorang wanita berusia 41 tahun kerana disyaki menjadi 'keldai akaun' oleh sindiket penawaran pinjaman wang tidak wujud serta menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Bank Negara melalui dalam talian bagi sindiket Macau Scam.

"Lelaki itu ditahan di Kelantan manakala wanita ditangkap di negeri ini dan siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam kes penipuan yang dilaporkan pada 2021. Jumlah kerugian yang dialami mangsa antara RM1,400 hingga RM20,950," menurut kenyataan itu.

Iklan

Kedua-duanya yang ditahan pada Selasa lepas kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama