Pembantu Penguat kuasa Veterinar didakwa terima suapan

Iklan
Tertuduh (depan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, pada Rabu.

KUALA TERENGGANU - Seorang Pembantu Penguat kuasa Veterinar dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dakwaan menerima suapan berjumlah RM35,000 sebagai balasan bagi membantu kes mahkamah yang dikendalikannya.

Tertuduh, Abol As Mohd Jamil, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM35,000 daripada Mohd Nazir Dagang antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 petang di Kampung Seberang Takir, di Kuala Nerus pada 27 Julai 2022 sebagai dorongan bagi menurunkan seksyen pertuduhan kepada hukuman yang lebih ringan.

Mohd Nazir Dagang berdepan tuduhan di mahkamah sama bagi kesalahan di bawah Seksyen 32 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Iklan

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Iklan

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 oleh seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan setiap awal bulan.

Mahkamah turut menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun.