Waspada, elak kawasan berisiko ketika musim tengkujuh - PM

Iklan
Anwar mendengar taklimat daripada anggota bomba ketika tiba lokasi kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Batang Kali pada Sabtu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon semua pihak agar berwaspada dan mengelakkan kawasan berisiko tinggi ketika musim tengkujuh dan monsun.

Perdana Menteri turut mengarahkan agar pihak berkuasa tempatan untuk memantau dan mempertingkatkan keselamatan di tapak-tapak peranginan di negeri masing-masing.

Iklan
Iklan

"Dewan ini ingin merakamkan ucapan takziah kepada individu dan keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor Darul Ehsan pada 16 Disember lalu.

"Dewan amat terkesan dan sedih dengan kejadian yang melibatkan seramai 94 mangsa yang terdiri daripada warganegara kita termasuk kanak-kanak dan warga asing,” katanya ketika memberikan penerangan mengenai insiden tanah runtuh di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1) (i) pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 hari ini.

Iklan

Katanya, berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sejurus mendapat maklumat kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.23 pagi, koordinasi antara agensi telah dibuat dengan pantas. Beliau berkata pasukan penyelamat telah tiba di kawasan kejadian pada pukul 2.58 pagi dan berjaya menyelamatkan mangsa pertama sejam selepas itu.

Sehingga kini, seramai 61 mangsa telah terselamat manakala 24 mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala sembilan lagi masih hilang.

Iklan

Berikutan tragedi itu, kerajaan telah mengumumkan bantuan segera sebanyak RM1,000 kepada semua mangsa yang terselamat dan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.

Hampir 700 anggota daripada 16 agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat serta pengurusan lain di tempat kejadian sebaik sahaja Pos Kawalan Tempat Kejadian dibuka hingga ke hari ini.

"Justeru, dewan ini ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi penyelamat di Ground Zero utamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, pasukan khas yang terdiri daripada pasukan SMART, STORM, MUST, PGA dan pasukan Unit Khas K9," katanya.

Agensi berkaitan yang turut terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Jabatan Penerangan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Kerajaan Negeri Selangor, Telekom Malaysia dan lain-lain, katanya.

Anwar turut menzahirkan sembah takzim kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan berangkat meninjau pusat operasi semalam, selain jemaah menteri dan semua pihak yang turun padang memberikan khidmat sepanjang operasi.

Sementara itu, katanya seperti dilaporkan Jabatan Metereologi Malaysia, hujan berterusan dijangka berlaku di pantai timur Semenanjung dan timur Sabah bermula 17 Dis lepas.

Dewan juga, katanya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kanak-kanak perempuan Nur Hilwa Edrea Mohd Hariz Zaifan berusia 1 tahun 3 bulan yang menjadi mangsa korban banjir di Terengganu. - Bernama