'Dengar sahaja bunyi siren, kami terus pindah'

Iklan
Sungai Kuantan di perkampungan Sungai Lembing masih berada pada tahap normal ketika tinjauan dilakukan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Abdul Rahim, Safiah, Abdullah Sani

KUANTAN - Penduduk di perkampungan Sungai Lembing sudah bersedia untuk berpindah pada bila-bila masa jika paras air Sungai Kuantan melimpah.

Rata-rata mereka ketika ini sedang menanti bunyi siren amaran daripada Stesen Siren kampung berkenaan yang menandakan peningkatan paras air dan mereka harus segera pindah.

Iklan
Iklan

Bagi pesara, Abdul Rahim Ali, 62, mengakui sudah bersedia untuk meninggalkan rumah bersama isteri dan anak-anak pada bila-bila masa jika berlaku banjir.

Menurutnya, beg kecemasan yang berisi sijil-sijil, dokumen penting, wang, pakaian sudah dibereskan sejak awal Disember lalu.

Iklan

Jelasnya, persiapan itu dilakukan kerana pekan Sungai Lembing sudah biasa dinaiki air lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh.

"Jadi, kami semua sudah memahami situasi itu dan sentiasa dalam keadaan berwaspada. Bila dengar sahaja bunyi siren amaran, kami semua terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), menjangkakan berlaku empat hingga enam episod luruan monsun sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula November hingga Mac tahun hadapan.

Pada Sabtu, simulasi model ramalan banjir yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan beberapa daerah di Pahang akan berlaku banjir besar kira-kira jam 8 malam, Ahad.

Bapa kepada enam anak itu memberitahu walaupun berdepan dengan banjir setiap tahun, namun situasinya sentiasa berbeza-beza.

Keadaan pekan Sungai Lembing ketika tinjauan Sinar Harian pada Ahad.

"Ada ketika hujan berlarutan sehingga dua jam menyebabkan air naik mendadak sehingga paras dada dalam beberapa saat sahaja.

"Ada kalanya, air naik hanya di paras paha dan mengambil masa beberapa jam untuk naik sehingga paras pinggang dan dada.

"Jadi, apa sahaja situasi banjir, kami penduduk mengambil pendekatan untuk berpindah ke lokasi lebih selamat dan patuh kepada arahan pihak berkuasa," ujarnya yang menetap di kampung itu lebih 30 tahun.

Sementara itu, Safiah Mat Ali, 62, memaklumkan sudah terbiasa dengan banjir, namun tetap berwaspada dengan keadaan setiap kali hujan lebat pada musim tengkujuh ini.

Tambah Safiah, banjir juga pernah berlaku di perkampungan Sungai Lembing walaupun tiada hujan dan disebabkan itu mereka perlu berwaspada dengan semua kemungkinan.

"Kami semua sedang tunggu bunyi siren dan arahan pihak berkuasa, bila sudah kedengaran (bunyi siren) tindakan kami adalah bersiap untuk berpindah dengan membawa dokumen penting sahaja ke PPS yang sudah disediakan.

"Barangan elektrik dan peralatan rumah pula semua sudah ditempatkan di tempat selamat. Insya-ALLAH tidak berlaku kerugian seperti awal tahun lalu," katanya.

Dia bagaimanapun berharap kali ini banjir tidak berlaku pada waktu malam kerana ia menyukarkan pergerakan mereka untuk berpindah.

Peniaga makanan, Abdullah Sani Ali, 47, pula mengakui belum membuat sebarang persiapan kerana berasakan kawasannya masih belum dinaik air.

Katanya, buat masa ini, banjir dijangka berlaku di kawasan Raub, Lipis dan Temerloh dan selepas itu baru di kawasan sekitar Kuantan khususnya Sungai Lembing.

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Da Yu, 41, sudah menganggap banjir adalah sebahagian daripada kehidupan mereka sejak sekian lama.

"Kami sudah tahu apa yang perlu dilakukan terutama persiapan menyediakan bekalan makanan dan simpan dokumen penting di tempat selamat apabila banjir,” katanya.

Dia yang merupakan penjawat awam berkata, banjir di pekan ini memang menjadi tumpuan warga Kuantan.

"Apabila hujan di bandar, ramai yang bertanya situasi di sini, seperti sama ada hujan atau air sudah naik atau belum,” jelas bapa kepada dua anak itu.