Pematuhan MoU jaminan kestabilan Kerajaan Perpaduan

Iklan
Ahmad Zaharuddin (gambar kecil) menyifatkan MoU Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan antara strategi menang-menang untuk semua pihak.

ALOR SETAR - Perjanjian yang dimeterai parti-parti gabungan politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan memberi impak cukup besar terhadap kestabilan kerajaan, politik mahupun ekonomi negara.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ini kerana matlamat untuk menstabilkan Kerajaan Perpaduan bergantung kepada pematuhan setiap parti terhadap perjanjian permuafakatan terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia antara strategi menang-menang untuk semua pihak dan pada masa sama dapat menegakkan keadilan selain kestabilan dapat digarap antara parti terlibat.

"Apabila semua keadaan stabil dan tenang, urusan pentadbiran akan lancar seterusnya memastikan kelancaran untuk fasa menjana ekonomi negara.

Iklan

"Secara tidak langsung juga dapat menutup mulut segelintir pihak yang mengkritik kerajaan sekarang tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk mentadbir, sekali gus membuktikan tanggapan itu meleset,” katanya di sini pada Jumaat.

"Pada masa sama rakyat harus tahu apakah isi kandungan perjanjian tersebut agar dapat membuat penilaian sekiranya terdapat unsur meragukan supaya tindakan boleh diambil dengan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan,” katanya lagi.

Iklan

Bekas Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) itu tegaskan, antara kelebihan MoU berkenaan ialah memastikan tiada parti politik bersikap berbolak-balik.

"Sekiranya prinsip ‘lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji’ dipatuhi, semua dasar-dasar kerajaan boleh dilaksanakan dengan jayanya.

"Ia penting ketika pembentangan Belanjawan yang memerlukan sokongan secukupnya. Tidak dapat dibayangkan tanpa MoU ini kemungkinan berlakunya undi belah bagi dalam meluluskan belanjawan, kelak pincang dan apa pula persepsi dunia terhadap negara,” soalnya.

Ahmad Zaharuddin turut mengingatkan semua pihak agar bersatu hati bawah Kerajaan Perpaduan agar dapat memacu kemasukan pelaburan seterusnya merancakkan ekonomi domestik.

"Bukankah akan merugikan kita apabila tiada pelaburan masuk disebabkan kebimbangan terhadap kestabilan negara? Kita harus tunjukkan sisi positif negara ini selepas apa yang berlaku dalam politik negara sepenggal lalu,” katanya.

Biarpun begitu, tegasnya, MoU berkenaan juga menyerlahkan kelemahan, iaitu seolah dilihat seperti ganjaran terhadap pihak yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

"Secara luaran parti-parti terlibat dilihat terikat disebabkan ditawarkan habuan seperti jawatan, bukan kerana ideologi mahupun untuk negara,” katanya.

Pada Jumaat, empat gabungan politik menyatakan komitmen menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.

Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan ditandatangani oleh Setiausaha Agung gabungan politik, iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Pakatan Harapan), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Barisan Nasional) Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Gabungan Parti Sarawak/GPS) dan Datuk Seri Marsidi Manjun (Gabungan Rakyat Sabah/GRS).

Perjanjian kerjasama itu turut ditandatangani ketua gabungan, iaitu Anwar (PH), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.