Bersatu tak halang pemimpin, ahli sertai MN

Iklan
Hamzah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Pantai Besar Ulu, Ijok pada Jumaat.

LARUT - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menghalang mana-mana pemimpin dan ahlinya untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana MN merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan parti politik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hanya penyertaan ke dalam mana-mana parti politik yang lain sahaja boleh menyebabkan keanggotaan di dalam parti boleh terbatal.

"Apa salahnya, tidak menjadi satu kesalahan (menyertai MN) kerana ia bukan menjadi ahli parti yang lain. Mereka hanya bersama dalam satu kumpulan yang telah pun menggariskan satu agenda perjuangan.

Iklan

"Perjuangan mereka demi kepentingan yang baik untuk negara jadi saya mengalu-alukan sesuatu yang baik untuk negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Pantai Besar Ulu, Ijok di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan 30 Ahli Majlis Tertinggi MN terdiri daripada individu berlatarbelakangkan profesional, parti politik, NGO, pendidik dan selebriti.

Iklan

Antara Ahli Majlis Tertinggi MN termasuklah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Selain itu beberapa pimpinan lain ialah bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar; Pemimpin Parti Bangsa Malaysia, Datuk Zuraida Kamaruddin; Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz manakala selebriti Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Eizlan Yusof.