‘Saya pun ada mimpi semalam’

Iklan
Perkongsian Annuar berkenaan ‘mimpi’ dan igauan’ dialami pemimpin tersebut mendapat perhatian Isham. (Gambar dalam : Isham Jalil)

SHAH ALAM - Kenyataan tersirat bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang dipercayai ditujukan kepada UMNO mendapat respons daripada Ketua Penerangan parti itu, Isham Jalil.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO secara sinis dan berkias turut mengucapkan terima kasih atas perkongsian Annuar berkenaan ‘mimpi’ dan igauan’ dialami pemimpin tersebut.

Iklan
Iklan

"Tan Sri impikan nak jadi menteri lagi tapi tidak jadi dan tiada rezeki. Tidak mengapa, reda sahajalah ketentuan ALLAH SWT, Dia penentu segala. Kita hanya manusia yang berusaha, jika ALLAH tidak izin, maka adalah sebabnya.

"Api itu mahu bakar rumah kita supaya kita merempat dan pergi menumpang rumah orang lain. Orang lain itu adalah tuan kepada api ini dan dia sudah lama mahu bakar rumah kita dan halau kita keluar dari rumah sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Iklan

Annuar pada pagi Jumaat memberikan mesej tersirat di hantaran Facebooknya dipercayai ditujukan kepada UMNO selepas parti itu dipercayai mengambil keputusan untuk memecatnya.

Bekas Setiausaha Agung BN itu berkata, beliau bermimpi melihat ‘rumah pusaka’ yang didiaminya terbakar dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Iklan

Isham secara berkias turut menambah, ‘api dalam sekam’ perlu dikeluarkan daripada sesebuah rumah bagi mengelakkan ia terbakar.

Beberapa media yang memetik sumber parti pada Jumaat melaporkan, mesyuarat MKT yang diadakan pada malam Khamis dipercayai mencapai ketetapan untuk memecat Annuar daripada UMNO.

Difahamkan, turut menerima nasib sama ialah Ketua Wanita UMNO Arau, Datin Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita UMNO Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

Shamsiah merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim manakala Fatimah Kassim merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Kedua-dua ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan tiga pemimpin UMNO dipecat keahlian kerana mencemuh parti dan berkempen untuk pihak lain ketika PRU15.

Perkara itu dimaklumkan Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, selepas selesai menghadiri mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.