[IT Testing] 26 bekas pemain bola sepak Selangor dapat rumah

Iklan

SHAH ALAM: Keperitan 26 bekas pemain bola sepak Selangor yang menanti ganjaran kemenangan Piala Malaysia 1995 berakhir apabila mereka menerima ganjaran rumah percuma daripada kerajaan negeri, hari ini.

Kesemua mereka masing-masing dianugerahkan sebuah kediaman di Pangsapuri Idaman Abadi, Batu 18, Kajang, bernilai RM250,000 seunit yang dijangka selesai awal tahun depan.

Iklan
Iklan

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata, pihaknya bersetuju menawarkan Rumah Selangorku Idaman itu sebagai gantian dan penyelesaian tuntutan kepada skuad berkenaan pada 30 Mac lalu.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa peka dan mendengar rintihan berkaitan janji kerajaan terdahulu bagi penganugerahan tanah seluas seekar kepada setiap pemain itu.

Iklan

"Bagi memastikan hak dan tuntutan itu ditunaikan, saya telah membangkitkan isu berkenaan supaya dapat segera diselesaikan.

"Kita turut berbincang pada 30 Mei lalu bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi memaklumkan keputusan penyelesaian penantian sejak 27 tahun lalu itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Cabutan Undian Unit dan Menandatangani Penyerahan Hartanah kepada mereka, hari ini.

Iklan

Jelas Rodziah, kerajaan negeri turut bersetuju untuk menanggung kos lain seperti pemasangan kipas, lampu, penghawa dingin dan yuran penyelenggaraan.

"Selain itu, keistimewaan diberikan kepada skuad berkenaan tanpa tertakluk sebarang syarat kelayakan seperti pemohon Rumah Selangorku dan syarat penjualan melalui LPHS.

Menerusi tawaran ini, ia akan memudahkan urusan mereka dalam pemilikan dan penjualan pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambah beliau, kemajuan projek Pangsapuri Idaman Abadi kini berada di fasa terakhir sebelum penyerahan kunci dilakukan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, legenda bola sepak Selangor, Azman Adnan, 51, berkata penantian berkenaan nyata berbaloi kerana akhirnya direalisasikan selepas menunggu hampir tiga dekad.

"Bagi saya, ganjaran rumah itu sudah amat bermakna biarpun tidak mendapat tanah yang pernah dijanjikan sebelum ini. Ia lebih baik daripada tidak mendapat apa-apa dan saya amat berterima kasih kepada kerajaan Selangor terutama Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari,” luahnya. – UTUSAN