Siang mengemis, malam tidur hotel

Iklan
Nicole bertanya sesuatu kepada seorang pengemis yang ditemui di bandar Seremban

SEREMBAN - Siang mengemis tetapi malam menginap dan tidur di hotel.

Itu antara maklumat diperolehi hasil soal siasat yang dilakukan Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berhubung kegiatan pengemis di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ada juga yang sanggup membahayakan diri menolak kerusi roda di tepi jalan menjual air dan sabun semata-mata untuk meraih simpati masyarakat.

"Lebih mengejutkan pengemis ini sanggup berpindah dari Kuala Lumpur ke Seremban dan tinggal di rumah sewa dengan kadar RM800 sedangkan tidak berkemampuan.

Bila kita cuba bantu dapatkan rumah flat yang sewanya lebih murah, dia tak mahu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak terlalu bermurah hati memberi bantuan kepada golongan pengemis sebaliknya menyalurkan maklumat berkenaan mereka kepada pihak berwajib.

Ujarnya, memberi sedekah walaupun hanya RM1 kepada golongan terbabit bukannya membantu sebaliknya membuatkan mereka lebih malas.

Iklan

"Pernah ada kes yang kita jumpa seorang lelaki kudung mampu dapat RM300 dalam tempoh tiga jam mengemis dan bagi saya jika dibiarkan ia akan membantutkan usaha kerajaan membanteras aktiviti mengemis," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kegiatan mengemis di Negeri Sembilan masih berada dalam keadaan terkawal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu Nicole menasihatkan golongan orang kurang upaya (OKU) supaya tidak memilih jalan mudah mendapatkan wang dengan mengemis.

Jelasnya, terdapat pelbagai bentuk pekerjaan yang bersesuaian buat golongan berkenaan dan JKM boleh membantu termasuk menawarkan bengkel latihan untuk memajukan diri.

"Statistik menunjukkan seramai 30,293 orang telah berdaftar sebagai OKU di Negeri Sembilan.

"Pendaftaran OKU amat penting bagi mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU bagi merancang program dan perkhidmatan berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi serta latihan," katanya.