SHAH ALAM - Sebarang pelepasan air empangan dilaksanakan secara berperingkat dan dikawal rapi oleh pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi kesemua empangan yang terlibat dengan mengambil kira keadaan trend paras sungai dan perubahan cuaca semasa.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, susulan tular maklumat berhubung Jadual Perancangan Pelepasan Air Empangan Langat dan Empangan Semenyih yang dikeluarkan LUAS pada Jumaat sehingga menimbulkan kegusaran awam, pihaknya menegaskan bahawa jadual itu disediakan sehari sebelum tarikh pelepasan air empangan bagi tujuan pemakluman awal kepada agensi-agensi negeri yang berkaitan.