Selangor rekod pelaburan RM4.88 bilion

Iklan
Teng Chang Khim

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor merekodkan pelaburan berjumlah RM4.88 bilion membabitkan 118 projek perkilangan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, berdasarkan statistik pelaburan dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Selangor mencatatkan nilai pelaburan lebih rendah berbanding Johor dengan jumlah pelaburan RM6.67 bilion.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, Selangor merekodkan bilangan kelulusan projek perkilangan yang tertinggi berbanding Johor dan negeri-negeri lain iaitu sebanyak 118 projek perkilangan berbanding Johor sebanyak 68 projek.

Chang Khim berkata, berdasarkan statistik kelulusan projek perkilangan mengikut penyertaan asing di Johor, sebanyak 70 peratus nilai pelaburan asing membabitkan pelaburan daripada Singapura.

Iklan

"Dalam menarik pelaburan, Selangor dan Johor mempunyai kekuatan hampir sama dari segi kedudukan lokasi yang strategik, kemudahan pelabuhan dan jaringan jalan raya yang menghubungkan antara setiap kawasan.

"Selain itu, antara faktor lain yang mendorong pelabur ke Johor seperti kawasan perindustrian lengkap dengan kemudahan asrama pekerja dan harga tanah industri yang jauh lebih murah berbanding Selangor," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Shamsudin Lias (BN-Sungai Burung) mengenai jumlah pelaburan di Selangor yang jatuh ke kedudukan kedua selepas Johor dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Chang Khim berkata, dalam usaha menambah pelaburan baharu, kerajaan negeri melalui Invest Selangor selaku agensi penggalakan pelaburan sentiasa melaksanakan pelbagai program bagi memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini pelabur.

"Antara strategi dirancang ialah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebagai pelan rancangan pembangunan lima tahun secara menyeluruh berpandukan strategi dan inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencapai visi menjadikan Selangor sebagai negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang 2025.

"Dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi dan hartanah pula, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Pelaksanaan Projek Pembangunan (IDRISS) membabitkan daerah Sepang dan Kuala Langat," katanya.

Beliau menambah kerajaan negeri juga menubuhkan Majlis Industri Rel Negeri Selangor bagi memastikan industri ini diberi perhatian kerana dilihat mampu memberikan impak besar kepada ekonomi Selangor pada masa akan datang.

Selain itu, beliau berkata, program promosi pelaburan seperti misi lawatan penggalakan pelaburan ke luar negara, libat urus, perbincangan, webinar, promosi dan pengiklanan dalam media cetak mahupun elektronik secara berterusan dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam usaha menarik pelaburan baru serta mengekalkan pelaburan sedia ada.