[VIDEO] Bekas Ahli Parlimen Langkawi meninggal dunia di Jerman

Iklan
Allahyarham Nawawi

LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad, 61, dilaporkan meninggal dunia pada awal pagi Isnin.

Difahamkan, Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi di Frankfurt, Jerman.

Iklan
Iklan

Perkara itu dikongsikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan melalui hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

"Al-Fatihah buat arwah Yang Berbahagia Datuk Nawawi Ahmad, 61 tahun, Ketua UMNO Bahagian Langkawi telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi di Jerman.

Iklan

"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin. Takziah kepada keluarga arwah,” katanya.

Nor Saidi berkata, jenazah Nawawi akan dikebumikan di Jerman.

Iklan

Allahyarham memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Langkawi mulai 2013 hingga 2018.

Sebelum pemilihannya pada tahun 2013, beliau berkhidmat dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dari 2004 hingga 2013.

Namun, beliau tewas kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada saingan merebut kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Allahyarham juga merupakan mantan Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Al-Fatihah.