[VIDEO] 'Tiada siapa perlu letak jawatan' - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad ketika sesi penerangan dan dialog bersama akar umbi di Benut Pontian pada Ahad.

PONTIAN - Tiada siapa pun di dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO termasuk Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu meletakkan jawatan susulan prestasi buruk gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua pihak termasuk pucuk pimpinan parti, bahagian dan cawangan perlu muhasabah diri dan merapatkan kembali hubungan.

Iklan
Iklan

"Kalau hendak suruh letak jawatan, ramai yang perlu letak jawatan termasuklah ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang kalah teruk iaitu mencecah 7,000 PDM seluruh negara.

"Maka berapa ramai yang perlu letak jawatan? Justeru, jangan ada sesiapa pun yang letak jawatan sebaliknya kita semua perlu muhasabah apa yang telah berlaku," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas sesi penerangan dan dialog bersama akar umbi di Benut pada Ahad.

Pada PRU15, BN hanya memenangi sembilan kerusi di Johor, selain langsung tidak memenangi kerusi di Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Terengganu.

Iklan

Sembilan kerusi dimenangi BN di Johor ialah Parlimen Parit Sulong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Pontian, Tanjung Piai dan Sembrong.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menyarankan agar UMNO bahagian menganjurkan sesi penerangan dan dialog bagi memberikan penjelasan keputusan penyertaan kerajaan perpaduan dan pelbagai perkara lain berhubung parti.

"Kita secara berterus terang perlu menyatakan apa yang patut dikatakan, maka kita berani berdialog dam bersemuka. Saya harap sesi penerangan seumpama ini dapat dilakukan UMNO bahagian seluruh negara.

"Elok sekiranya sesi penerangan ini diadakan hujung minggu depan apabila kabinet sudah ditubuhkan. Kenyataan media Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Agung UMNO boleh dijadikan sebagai bahan rujukan taklimat sesi penerangan," katanya.