Enam Exco Perlis angkat sumpah

Iklan
Barisan Exco baharu Perlis mengangkat sumpah jawatan di Arau pada Jumaat.

ARAU - Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di sini pada Jumaat.

Istiadat pelantikan itu berlangsung di Bilik Hijau, Istana Arau dekat sini pada pukul 3.30 petang.

Iklan
Iklan

Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Empat daripada ADUN berkenaan merupakan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) daripada Pas iaitu Azmir Azizan (Santan), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), Wan Badariyah Wan Saad (Mata Ayer) dan Razali Saad (Simpang Empat).

Iklan

Pelantikan enam ADUN itu mendapat perkenan daripada Tuanku Syed Sirajuddin selepas nama mereka dipersembahkan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli kepada baginda.

Kesemua mereka kemudian menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Pesuruhjaya Kehakiman Kangar, Dr Arik Sanusi Yeop Johari dan Ketua Hakim Sharie, Jaidi Ahmad.

Iklan

Mereka itu adalah lantikan baharu selepas PN buat pertama kalinya berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri Perlis susulan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PRU15 menyaksikan PN berjaya meraih kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali di Indera Kayangan yang dimenangi calon Pakatan Harapan, Gan Ay Ling.

Keputusan itu sekali gus menamatkan penguasaan lebih 60 tahun BN di Perlis.

Pada Selasa, Mohd Shukri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis kelapan di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau.