Bendung ekstremisme di media sosial

Iklan
Mohd Hakim

SHAH ALAM - Usaha untuk membendung sebarang bentuk ekstremisme perlu dilakukan secara menyeluruh agar ia tidak melarat dan memberikan kesan kepada negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Jiwa Hamba, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, terdapat beberapa pihak di media sosial terutamanya di TikTok cuba untuk menyemai ekstremisme seperti isu perkauman yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Iklan
Iklan

"Kita tidak tahu siapa dalang yang cuba apikan rakyat, namun kita tidak boleh biarkan perkara ini berterusan.

"Jadi, saya berbincang dengan Penasihat Kumpulan Karangkraf (Karangkraf), Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail untuk kita kumpulkan orang yang cintakan keamanan di TikTok untuk sama-sama pulihkan balik pemikiran orang yang terpedaya dengan agenda tersebut," katanya dalam satu program Pertemuan Khas Menghadapi Krisis Extremisme di Media Sosial (TikTok) yang dihadiri oleh hampir 30 TikTokers di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf pada Khamis.

Iklan

Beliau yang juga penganjur program tersebut turut menegaskan pihak yang menggunakan agenda ekstremisme ini pada kebiasaanya menyasarkan penggunaan konteks yang bersifat agama.

"Contohnya perkataan kafir, munafik atau jihad merupakan perkataan yang ada maksud tertentu dalam agama. Tetapi, digunakan secara meluas seperti melabel orang kafir dan sebagainya.

Iklan

"Adakah itu yang disebut dalam al-Quran atau ia satu fahaman yang salah," katanya.

Justeru, Mohd Hakim berkata, program tersebut akan diteruskan dalam masa terdekat dan berhasrat untuk mengumpulkan lebih 1,000 TikTokers.

"Kita menyasarkan untuk kumpul 1,000 TikTokers dalam masa terdekat yang dapat bawa 'content' melalui al-Quran. Semoga kita dapat wujudkan gelombang al-Quran di TikTok bukan sekadar daripada bacaan ayat al-Quran tetapi juga kefahamannya.

"Pada masa sama, saya berterima kasih kepada Karangkraf, Sinar Harian dan WUIF yang menyediakan tempat pertemuan kami hari ini," ujarnya.