PH-BN ada perjanjian bentuk kerajaan Perak

Iklan
Mujahid

IPOH - Pakatan Harapan (PH) mendedahkan mereka memang menandatangani perjanjian bersama BN bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.

Perkara itu diakui Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang memaklumkan perjanjian itu dibuat pada 21 November bersama Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Iklan
Iklan

Katanya, perjanjian tersebut dibuat bagi membentuk kerajaan dengan sokongan 33 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Namun segala pertentangan ini tidak menjadi halangan kepada keperluan berperundangan untuk membentuk sebuah kerajaan. Undang-undang adalah bebas ideologi, undang-undang hanya melihat kepada prinsip dan ia perlu dipatuhi tanpa sentimen dan emosi," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, Mujahid turut mendedahkan terdapat perjanjian persefahaman ditandatangani di peringkat antara parti untuk memastikan butiran pentadbiran kerajaan dikongsi bersama demi memastikan kelestarian dan kestabilan negeri.

Sebagai Pengerusi PH Perak, beliau turut akan memastikan prinsip besar pemerintahan akan dilaksanakan dalam kerajaan Perak melalui panduan Maqasid Syariah dan prinsip manusiawi yang unggul.

Iklan

"Kejayaan di Perak akan membuktikan bahawa retorik politik ketaksuban, ekstrimisme dan fitnah tidak relevan dan menjadi pinggiran.

"Politik sempit hanya sesuai untuk pemimpin-pemimpin yang meletakkan diri mereka pada tahap picisan," katanya.

Pada Isnin, Saarani mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak selepas PH bersetuju untuk menerima BN sebagai rakan gabungan bagi membentuk kerajaan negeri.

Gabungan 24 kerusi DUN dari PH dan sembilan lagi kerusi dari BN membolehkan kerajaan negeri Perak terbentuk selepas Perikatan Nasional (PN) yang memenangi 26 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu tidak mempunyai cukup majoriti menubuhkan kerajaan.