Penceramah diserang dengan pisau, botol di surau

Iklan

JOHOR BAHRU - Seorang penceramah berdepan detik cemas apabila diserang seorang lelaki ketika memberi ceramah selepas solat Maghrib di sebuah surau di Taman Universiti di sini pada malam Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Fariz Ammar Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 7.55 malam yang memaklumkan seorang lelaki cuba menyerang penceramah agama berkenaan.

Iklan
Iklan

"Dalam kejadian tersebut, suspek yang merupakan lelaki Melayu berada dalam pengaruh alkohol telah masuk ke surau itu dan menyerang penceramah berkenaan menggunakan dua bilah pisau dan botol arak.

"Bagaimanapun tindakan suspek tersebut dapat dihalang jemaah lain sebelum mereka menghubungi pihak polis. Kejadian berlaku ketika mangsa sedang menyampaikan ceramah di surau itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, suspek berusia 38 tahun itu berjaya ditahan dan pihaknya merampas pisau serta botol arak terbabit..

Jelasnya, siasatan mendapati suspek merupakan seorang penganggur dan juga orang dikehendaki berkaitan kes dadah.

Iklan

Menurut Fariz, saringan air kencing dilakukan terhadap suspek mendapatinya negatif.

"Mahkamah Majistret Johor Bahru telah membenarkan suspek untuk direman selama empat hari sehingga 17 November ini," ujar beliau.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati suspek tiada motif melakukan perbuatan tersebut selain berada di bawah pengaruh alkohol yang berlebihan sehingga hilang kawalan diri.

Selain itu katanya, pihak polis juga sudah merakamkan keterangan saksi-saksi di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 dan 352 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.