GPS nafi pakatan dengan BN

Iklan
Abang Johari - Foto Bernama

LAWAS - Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Selasa menafikan laporan bahawa persetujuan telah dicapai untuk gabungan itu menyokong Barisan Nasional (BN) dalam membentuk kerajaan stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Premier Sarawak berkata, setakat ini tiada perjanjian sedemikian dibuat gabungan itu.

Iklan
Iklan

"Saya tidak tahu mengenai itu (kerjasama dengan BN), saya juga baru baca tentangnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sarawakku Sayang di sini pada Selasa.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita yang memetik Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan BN yakin dapat membentuk kerajaan stabil selepas PRU15 dengan sokongan daripada GPS.

Iklan

Dalam laporan yang diterbitkan pada 21 Oktober lepas, Ahmad juga berkata, perkara itu telah dipersetujui dalam mesyuarat sebelum ini antara kedua-dua pakatan berkenaan.

GPS ialah gabungan yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang merupakan bekas parti komponen BN.

Iklan

Gabungan itu mengumumkan keluar BN pada Jun 2018.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November ini. - Bernama