Jangan hukum mahasiswa kerana pandangan politik - DAP

Iklan
Pentadbiran Universiti Malaya (UM), digesa tidak mengenakan tindakan tatatertib terhadap seorang pelajar universiti itu yang mengkritik tindakan orang ramai menderma kepada Datuk Seri Najib Razak bagi tujuan tahanan di rumah.

SHAH ALAM - Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pentadbiran Universiti Malaya (UM), digesa tidak mengenakan tindakan tatatertib terhadap seorang pelajar universiti itu yang mengkritik tindakan orang ramai menderma kepada Datuk Seri Najib Razak bagi tujuan tahanan di rumah.

Gesaan itu dikemukakan menerusi kenyataan bersama 13 individu daripada DAP yang menyatakan solidariti terhadap pelajar berkenaan susulan kecaman diterimanya daripada sebahagian masyarakat.

Iklan
Iklan

Mereka berkata, isu itu mencetuskan perdebatan mengenai kebebasan bersuara, kematangan berpolitik dan hak mahasiswa menyuarakan pandangan terhadap perkara berkepentingan awam.

Menurut kenyataan itu, mahasiswa bukan sekadar golongan yang menuntut ilmu di menara gading, malah bakal pemimpin yang akan mentadbir negara pada masa hadapan.

Iklan

Justeru, mereka perlu diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pandangan, mengkritik dasar dan mempersoalkan isu semasa tanpa dibayangi ketakutan terhadap kecaman, ugutan atau tekanan daripada mana-mana pihak.

“Universiti seharusnya menjadi medan pembentukan pemikiran yang matang, terbuka dan progresif, bukannya ruang yang membungkam suara anak muda,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Iklan

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Naib Ketua DAPSY Selangor, Nur Rahim Nasir; Edry Faizal, Ahli DAP Cawangan Alam Jaya; Muhammad Shakir Ameer Mohideen, Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Shah Alam; dan Farhan Haziq, Pengerusi DAP Cawangan Bandar Baru Bangi.

Turut menandatangani kenyataan itu ialah Abdul Majid Abd Aziz, Setiausaha DAP Cawangan Pekan Paloh; Nor Miswary Ramli, Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam; Shukri Mokhtar, Ahli DAP Cawangan Kampung Baru Bt 9 Cheras; Muhammad Najib Anuar, Ahli DAP Taman Kemuncak; dan Mohd Aslam Ahmad Ramli, Pengerusi DAP Cawangan Kampung Tunku SS1.

Lima lagi ialah Muhammad Muzamir Abdul Rahman, Ahli DAP Taman Kemuncak; Muhammad Nurhadi, Ahli DAP Bandar Baru Bangi; Izzul Afiq, Setiausaha DAP Cawangan Taman Kemuncak; serta Azfar Faruqi Mohamad Idris dari DAP Cawangan Taman Seroja.

Mereka turut menggalakkan mahasiswa supaya terus berani bersuara, berfikir secara kritis dan mempertahankan prinsip yang diyakini berlandaskan fakta serta hujah munasabah.

Menurut kenyataan itu, sebarang perbezaan pandangan hendaklah ditangani melalui dialog sihat dan perbahasan intelektual, bukannya usaha menakut-nakutkan, memperlekeh atau memberikan tekanan kepada mahasiswa yang menyuarakan pendirian mereka.

Mereka berkata, kritikan terhadap pandangan mahasiswa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyekat hak mereka bersuara, manakala semua pihak berkepentingan perlu menunjukkan teladan dalam menghormati perbezaan pendapat serta menggalakkan budaya wacana terbuka dan bertanggungjawab.

“Mahasiswa perlu menyampaikan pandangan secara berhemah dan berasaskan fakta, namun penggunaan bahasa yang keras sekalipun tidak seharusnya secara automatik dijadikan alasan untuk menafikan hak mereka menyertai perbincangan mengenai isu nasional,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut menegaskan pendirian berkenaan selaras dengan aspirasi reformasi pendidikan tinggi dan komitmen yang pernah diperjuangkan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Menurut mereka, usaha itu penting bagi menjamin kebebasan akademik, autonomi universiti serta hak mahasiswa untuk bersuara tanpa rasa takut.

Sehubungan itu, kerajaan dan institusi pengajian tinggi sewajarnya menjadi benteng yang melindungi kebebasan mahasiswa, bukannya menggunakan mekanisme tatatertib untuk menyekat perbezaan pandangan, selaras dengan semangat kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut menyeru semua pihak menghentikan sebarang bentuk ugutan, intimidasi dan tekanan terhadap mahasiswa yang menyuarakan pandangan secara aman.

“Negara ini memerlukan generasi pemimpin yang berani mempertahankan prinsip, bukan generasi yang memilih untuk berdiam diri kerana takut akan akibat bersuara.

“Kami berdiri teguh bersama kebebasan bersuara mahasiswa dan menegaskan bahawa suara anak muda mesti diberikan ruang, dihormati serta dinilai berdasarkan hujah, bukannya dibungkam melalui tekanan,” menurut kenyataan sama.