Calon PSM Rembau isytihar harta, aset bersih RM707,000

Iklan
Tinagaran ketika mengisytiharan hartanya pada Selasa.

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Parlimen Rembau, S Tinagaran mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM707,000.

Tinagaran berkata, beliau membuat akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 bagi tujuan mengisytiharkan harta sebagai seorang calon PSM dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Rembau.

Iklan
Iklan

"Saya sudah berumahtangga dan mempunyai seorang isteri serta tiga anak.

"Saya bekerja sebagai penasihat Syarikat SP Nadarajah Enterprise (pembersihan dan landskap) dari tahun 2020 hingga kini," katanya ketika sidang akhbar di kediamannya di Taman Tuanku Jaafar di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Tinagaran yang mesra dipanggil Cikgu Tina berkata, beliau juga mengendalikan sebuah pusat tuisyen bersama isterinya di Rantau iaitu Pusat Tuisyen Samudera.

"Kesemua anggaran yang terkandung dalam pengisytiharan ini dibuat dengan usaha terbaik dan berdasarkan dokumen, rekod dan anggaran saya," katanya yang turut memperincikan kesemua nilai aset bersihnya.

Iklan

Pada PRU15 ini, Tinagaran bertembung lima penjuru dari calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pakatan Harapan (PH), Jufitri Joha, Perikatan Nasional (PN), Mohd Nazree Mohd Yunus dan Gerakan Tanah Air (GTA), Ramly Awaluddin.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Pengisytiharan harta itu dibuat menerusi akuan berkanun (SD) yang dimuat naik melalui laman blog peribadinya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata, PSM adalah parti politik pertama di Malaysia yang memperkenalkan pengisytiharan harta sejak tahun 1999.

"Ini adalah satu amalan yang kita lihat sebagai langkah untuk menunjukkan ketelusan calon dan elakkan daripada korupsi," katanya.

Dalam pada itu, Tinagaran juga memberi jaminan tidak akan memainkan sentimen perkauman demi meraih undi atau sokongan daripada rakyat pada PRU15.

Menurutnya, pada masa kini diskriminasi perkauman dan politik perkauman umpama sebuah penyakit kronik yang menghancurkan rakyat di negara ini.

"Maka kami pendukung perjuangan menentang rasisme ini dengan penuh iltizam berikrar akan menjauhi apa juga unsur perkauman dalam semua aktiviti kempen pada pilihan raya ini.

"Ia termasuklah ketika ceramah, kenyataan akhbar, risalah, dan di sosial media," katanya.