Juadah minum petang yang alahai

Iklan

RAMAI dalam kalangan mereka yang bekerja akan membeli kuih-muih untuk juadah minuman petang. Di kebanyakan kawasan perumahan ada banyak gerai tepi jalan dan kaki lima yang menyediakan pelbagai jenis makanan.

Kita boleh memilih sama ada hendak makan kuih tradisional Melayu atau makanan barat seperti burger, meatballs atau Jepun seperti teriyaki.

Iklan
Iklan

Tapi akhir-akhir ini semakin ramai pula peniaga yang tak pandai memasak tetapi hendak berniaga juga. Mereka menjual kuih-muih yang bukan sahaja kemetot, tetapi punyai rasa yang tidak seperti yang sepatutnya. Dan mereka tidak rasa bersalah menjual makanan yang entah apa-apa.

Mereka jual keropok lekor yang liat. Bila kita gigit, kena pulas macam gula tarik untuk memutuskannya. Ada goreng pisang togel, yang mana tepung salutnya entah ke mana. Ada lepat pisang masin, karipap berintikan angin, kuih bingka kenyal dan cucur kulit udang.

Iklan

Mentang-mentanglah kita yang pulang kerja ini kelaparan dan hendak cepat balik ke rumah, mereka jual kuih-muih dan minuman petang yang tidak mementingkan kualitinya.

Akibatnya, kita terpaksa menyuap kuih yang lain rupa tetapi rasanya sama. Macam kebanyakan kuih raya sekarang. Kuih-muih Melayu mempunyai rasa yang pelbagai meskipun bentuknya hampir serupa.

Iklan

Rasa lepat ubi dan lepat pisang tidak sama. Begitu juga di antara kuih kasui dan kuih sagu merah. Cubalah kuih lapis dan seri muka, rasanya berlainan di antara keduanya. Begitu juga rasa di antara buah Melaka dan kuih lopis.

Tetapi apabila kuih-muih yang dijual sudah tidak dihidang di dalam talam, tetapi dalam paket plastik, sepatutnya rasanya harus dijaga agar keaslian terpelihara.

Walaupun kuihnya diikat dengan dawai kokot yang menggantikan lidi seperti kuih pulut panggang, atau plastik yang menggantikan daun pandan seperti tepung pelita; sesudah bertukar rupa, biarlah rasanya tidak berubah.

Maaf cakaplah. Dahulu, hanya mereka yang pandai buat kuih sahaja yang berani menjual. Sekiranya kuihnya kenyal, liat dan tawar, dia sendiri malu untuk jadikannya sebagai bahan jualan.

Tetapi sekarang ini, semakin ramai mereka yang menjualnya bukan membuatnya sendiri di rumah. Maka terjadilah kuih-kuih yang alahai rasanya walaupun harganya, alamak!

Di kampung-kampung, rasa putu piring hampir sama di antara satu gerai dengan satu gerai yang lainnya. Begitu juga rasa kuih-muih yang lain. Mungkin ada satu dua sahaja gerai yang menjual kuih-muih yang kurang kualiti dari segi rupa dan rasanya.

Tetapi di bandar-bandar pula keadaan sebaliknya. Kita sukar menemui gerai yang menjual kuih-muih yang sedap-sedap, tetapi banyak gerai yang menjaja kuih-muih yang rasanya membuatkan kita tidak hendak membeli lagi.

Kuih juga adalah salah satu daripada cabang budaya selain daripada bahasa, tulisan, pakaian, adat dan seninya. Jika seseorang itu menjual kuih tradisional, dia sebenarnya mempamerkan budaya masakan bangsanya.

Selain menjual, dia juga menjadi penggalak kepada pemakanan masakan Melayu. Kerana itu, dia juga adalah pemangkin kepada kelangsungan amalan bangsanya.

Dia bukan hanya menjual, hendak buat duit sebanyak yang boleh, tetapi tidak mengendahkan lagi citarasa bangsanya.

Justeru, sekiranya dia tidak menjaga kualiti makanan budaya bangsanya, tanpa dia sedari, dia telah menjauhkan bangsanya daripada menikmati budaya pemakanannya.

Para pelanggan akan memilih makanan segera yang rasa dan kualitinya sama walau di restoran mana yang mereka langgani.

Akhirnya, kita akan mempunyai selera yang berbeza; selera Amerika, Itali, Korea, Jepun dan tidak lagi selera orang Melayu.

Berbanding dengan masakan Melayu pula seperti nasi dagang, nasi kerabu, asam pedas, laksa utara dan laksa Johor yang masih terjaga kualiti rasanya, nampaknya kuih-muih Melayu semakin terabai. Ia diabaikan oleh para pembuatnya sendiri.

Apakah pembuat kuih-muih Melayu ini sedar yang mereka adalah penjaga salah satu cabang budaya Melayu? Dan, apakah pihak berwajib juga melihat penjagaan kepada kualiti rupa dan rasa masakan adalah tanggungjawab mereka sebagai salah satu fungsi menjaga budaya rakyat di dalam negara pimpinannya?

Sudah sampai masanya kita tidak hanya melihat aspek pentadbiran dan perniagaan semata-mata tanpa menitikberatkan kepada kualiti barangan jualan itu sendiri.

Justeru, selain daripada meluluskan permit perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan, kebersihan oleh jabatan kesihatan, keselamatan oleh pihak bomba dan penyelamat, kita perlu ada piawaian dari segi kualiti rasa masakan.

Barangkali perlu ada jabatan daripada Kementerian Kebudayaan yang menjaga kualiti makanan, khususnya kuih-muih sebagai keperluan mengekal budaya bangsa.

Nampak remeh tetapi penting. Kita punyai ramai graduan yang berkelulusan dalam bidang kulinari untuk menjadi pemeriksa kualiti rasa masakan.

Jika kita mempromosi sesetengah tempat perniagaan dan medan selera sebagai tumpuan pelancong, kita juga perlu mengurus secara mikro aspek kualitinya.

Mana-mana peniaga yang tidak mencapai tahap kualiti yang sepatutnya harus dihantar mengikuti kursus supaya kemahiran pembuatan kuih-muihnya menepati kualiti rupa dan rasanya.

Pokoknya, para peniaga berperanan menjaga salah satu cabang budaya kita ini.