Nafuzi enggan terburu-buru putuskan lanjutan kontrak

Iklan
Nafuzi - Foto Bernama

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain enggan mengambil keputusan terburu-buru berhubung tawaran lanjutan kontrak sebagai ketua jurulatih pasukan itu musim depan.

Sebaliknya, jurulatih kelahiran Kelantan itu berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd sebelum memutuskan sama ada mahu terus kekal membimbing skuad Penyu ataupun menimba pengalaman di tempat lain.

Iklan
Iklan

Nafuzi berkata pada dasarnya beliau amat berterima kasih kepada ahli lembaga pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd atas tawaran itu, tetapi memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan yang akan menentukan hala tuju masa depannya dalam kancah bola sepak negara.

"Lagipun saya perlu beri tumpuan kepada dua perlawanan dengan Sri Pahang bagi kempen Piala Malaysia malam esok (Rabu) dan 1 November depan," katanya ketika ditemui ketika sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, petang Selasa.

Iklan

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd pada Selasa mengumumkan menawarkan lanjutan kontrak sebagai ketua jurulatih skuad Penyu kepada Nafuzi bagi tempoh setahun musim depan.

Beliau yang telah empat musim membimbing pasukan hitam putih itu diberikan tempoh dua minggu untuk memberikan jawapan sama ada mahu menerima tanggungjawab berkenaan atau sebaliknya.

Iklan

Dalam pada itu, Nafuzi yang juga bekas penyerang Terengganu turut melahirkan ucapan penghargaan tidak terhingga kepada pemain dan peminat bola sepak Terengganu yang sentiasa memberi sokongan padu sehingga beliau mampu mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan pihak pengurusan.

Katanya, tugas itu diakui bukan mudah, namun kerja keras pemain dan sokongan padu membolehkan TFC merangkul gelaran naib juara Piala FA serta layak ke Piala Konfederasi Asia (AFC) musim depan.

"Sokongan rakyat Terengganu juga yang membolehkan saya kekal sebagai ketua jurulatih TFC pada musim ini. Justeru saya ketepikan semua perkara peribadi dan letak kepentingan pasukan serta harapan penyokong di depan," katanya. - Bernama