Dakwaan ramai warga Bangladesh diberi MyKad tidak benar

Iklan

KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp, kononnya ramai warga Bangladesh diberikan kad pengenalan (MyKad) menjelang pilihan raya.

Dalam satu kenyataan, JPN menegaskan dakwaan tersebut tidak benar sebaliknya MyKad hanya dikeluarkan kepada individu warganegara Malaysia yang layak sahaja, berdasarkan peruntukan perundangan.

Iklan
Iklan

"JPN juga ingin menjelaskan bahawa paparan MyKad yang ditularkan dan didakwa milik warga Bangladesh itu adalah tidak benar. Sebaliknya beliau adalah seorang warganegara Malaysia yang sah.

"Beliau telah diambil sebagai anak angkat secara sah dari sudut undang-undang, dan dibesarkan oleh satu keluarga cina sejak dari lahir lagi. Malah isu ini telah dilaporkan oleh pihak media yang menjelaskan bahawa individu tersebut adalah warganegara Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Menurut kenyataan JPN, satu laporan polis telah dibuat pihaknya pada 23 Oktober lepas, memandangkan dakwaan itu bukan sahaja menjatuhkan imej dan menjejaskan kredibiliti jabatan itu, malah boleh mencetuskan kebimbangan awam.

JPN turut mengingatkan orang ramai, supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi mengenainya dan tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana individu, yang didapati menyebarkan maklumat palsu.

Iklan

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077 atau e-mel pro@jpn.gov.my. - Bernama