Ratu kayak Sukma umum bersara

Iklan
Shahida Asyiqin mencipta sensasi pada Sukma 2022 apabila memenangi empat pingat emas, tiga perak dan enam gangsa. - Foto Agensi

RATU kayak Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Shahida Asyiqin Rusli tekad memilih untuk memberikan fokus kepada pelajaran sekali gus melepaskan impiannya dalam bidang sukan.

Shahida Asyiqin yang berpeluang mewakili negara ke Sukan SEA 2023 memilih untuk bersara pada usia 18 tahun dan kini menunggu tawaran daripada institusi pengajian tinggi (IPT) bagi meneruskan pelajaran dalam bidang Sains Sukan yang menjadi cita-citanya.

Iklan
Iklan

Atlet kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, keputusan dibuat tidak dipengaruhi mana-mana pihak termasuk ibu bapa yang sentiasa memberikan galakan untuk beliau meneruskan karier dalam bidang sukan.

"Keluarga ada nasihat supaya saya teruskan bermain (bersukan), tetapi saya tidak mahu kerana hendak tumpu sepenuhnya pada pelajaran. Akhirnya, mereka diam dan terima saja keputusan saya," katanya di Kuala Terengganu pada malam Khamis.

Iklan

Bagaimanapun, Shahida Asyiqin berkata, beliau sedia mempertimbangkan untuk bertanding di peringkat IPT sekiranya diterima masuk ke mana-mana universiti.

"Saya memang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tetapi sehingga kini belum ada perkembangan," katanya.

Iklan

Shahida Asyiqin mencipta rekod tersendiri pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur apabila memenangi empat pingat emas, tiga perak dan enam gangsa.

Beliau turut memecahkan tiga rekod kebangsaan dalam acara Kayak Single 100 meter wanita, Kayak Single 500 meter wanita dan Kayak Four 100 meter wanita.

Kejayaan tersebut membolehkan beliau dianugerahkan insentif tertinggi Sukma sebanyak RM33,500 oleh kerajaan negeri. - Bernama