Cina Peranakan selesa cara hidup Melayu

Iklan
Leeanne (kanan) bersama rakannya ketika berada di Kuil Kong Teck Choon Ong di Kampung Tiruk.

MARANG - Masyarakat Cina Peranakan digelar Mek dan Awang dikatakan sudah mula bertapak di Terengganu sejak abad ke-16, yang kini membentuk satu golongan etnik unik dan istimewa.

Menariknya golongan ini adalah, melalui percakapan dan cara hidup mereka yang rata-ratanya berasal dari Tiruk dan Banggul Kemang iaitu dua kampung dalam kawasan Dun Alur Limbat, di sini.

Iklan
Iklan

Komunikasi mereka pula lebih menggunakan bahasa Melayu loghat Terengganu berbanding bahasa Cina, malah cara hidup, adat, kepercayaan dan pakaian juga menyerupai masyarakat Melayu.

"Paling utama ialah Cina Tiruk menganggap Terengganu adalah sebagai tanah tumpah darah mereka," kata Chua Teng Eng, 55, yang dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Tiruk.

Iklan

Beliau berkata, Cina Tiruk adalah merujuk kepada orang Cina Peranakan tinggal di Kampung Tiruk dan Kampung Banggul Kemang terletak kira-kira 18 kilometer dari bandaraya Kuala Terengganu.

Lebih dikenali oleh masyarakat Melayu

Menurutnya, mereka dikenali sebagai orang Cina Tiruk bagi mewakili kedua-dua perkampungan berkenaan dan satu ketika dulu menggenakan baju kebaya dan kain batik jawa apabila keluar rumah.

Iklan

"Manakala lelaki pula memakai kain pelekat dan baju pagoda selain kemeja, dan mereka juga menggunakan nama timangan seperti Mek dan Awang, sama seperti masyarakat Melayu," katanya.

Lebih mesra dengan panggilan Leeanne, dia berkata, cara pertuturan Cina Peranakan juga sama seperti masyarakat Melayu, contohnya loghat Terengganu yang popular digunakan seperti 'guane gamok'.

Malah, dia mengakui masyarakat Melayu lebih ramai mengenalinya berbanding masyarakat Tionghua.

"Saya tak rasa kekok, malah tak pernah timbul perasaan sebegitu. Saya ada ramai kawan Melayu dan tidak mengalami masalah menyesuaikan diri dengan corak budaya Melayu sejak sekian lama.

"Malah ikan singgang, budu dan belacan hidangan rutin tengah hari walaupun tinggal di bandar Kuala Terengganu kerana komitmen kerja. Saya tetap pulang ke Tiruk sekali-sekala," kata anak sulung lima beradik itu.

Bakal berkumpul di Jakarta

Menurutnya, walaupun kedua-dua ibu bapanya sudah tiada, tetapi masih ada saudara-maranya yang tinggal di Tiruk, manakala rumah keluarga masih dijaga dengan baik oleh adik lelakinya.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Cina Peranakan Terengganu itu juga memaklumkan, satu acara tahunan akan di adakan pada November ini di Jakarta, Indonesia bagi mengumpulkan Cina Peranakan.

Menurutnya, Cina Peranakan dari Terengganu turut menyertai acara, selain Cina Peranakan dari negara jiran seperti Thailand, Singapura, Australia, Vietnam dan juga Cina Peranakan dari Indonesia.

"Kami dari Terengganu akan berkumpul di Jakarta, Indonesia pada November ini dan ia merupakan aktiviti tahunan yang sebelum ini acara sama diadakan di Phuket, Thailand," katanya