Hasrat Harrif naik podium masih 'tertunda'

Iklan
Mohd Harrif selepas menamatkan pelumbaan ke garisan penamat sempena perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2022 peringkat keempat sejauh 137.9 kilometer dari Sabak Bernam, Selangor ke Meru Raya, Perak pada Jumaat. - Bernama

HASRAT pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh untuk menaiki podium Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 masih lagi ‘tertunda’ apabila hampir terlibat dalam kemalangan ketika menuju garisan penamat Peringkat Keempat dari Sabak Bernam ke Meru Jaya, pada Jumaat.

Mohd Harrif yang tidak berhasil meraih kedudukan terbaik pada tiga peringkat sebelum ini, cuba membuktikan keupayaannya selaku ‘arkitek pecut’ TSG pada satu kilometer (km) ke garisan penamat sebelum kemalangan membabitkan sekumpulan besar peloton.

Iklan
Iklan

Kejadian yang berlaku di depan mata pelumba berusia 34 tahun itu sekali gus merencatkan usahanya untuk memecut ke garisan penamat apabila terperangkap dalam kumpulan berkenaan.

"Memang saya kalau boleh nak naik podium, sebab saya rasa kami boleh buat, hari ini saya dah rasa okey, cuma nasib tiada rezeki," katanya.

Iklan

Bagaimanapun, Mohd Harrif kekal optimis mampu meraih keputusan yang baik pada baki empat peringkat saingan LTdL 2022.

Pada perlumbaan pada Jumaat, pasukan TSG boleh mengukir senyuman apabila Jambaljamts Sainbayar dari Mongolia berjaya merapatkan jurang 0.01 saat dalam perebutan Jersi Putih (Terbaik Asia) apabila menawan tiga zon pecutan di Hutan Melintang, Kampung Gajah dan Tanjung Tualang.

Iklan

Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff pula mengekalkan Jersi Merah (Raja Bukit). - Bernama