Persediaan PRU15 fokus utama Mesyuarat Agung MIC Isnin ini

Iklan
R T Rajasekaran
KUALA LUMPUR - Persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadi fokus utama dalam Mesyuarat Agung MIC ke-76, yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Isnin ini.

Setiausaha Agung MIC, R T Rajasekaran berkata, mesyuarat agung tahunan parti itu juga, akan membincangkan pelbagai isu masyarakat India di negara ini, seiring dengan Pelan Tindakan Masyarakat India 2.0 yang dikeluarkan oleh Majlis Perundingan India, merangkumi aspek pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan akan dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut dijangka hadir bagi memberi ucapan khas.

Rajasekaran berkata, seramai 2,000 perwakilan dengan 1,200 pemerhati, terdiri dalam kalangan ketua cawangan dari seluruh negara dijangka hadir pada mesyuarat berkenaan.

"Saya harap kepada kesemua perwakilan yang hadir dapat mendengar amanat dan pedoman yang akan disampaikan oleh Presiden MIC,” katanya. - Bernama