PBAPP rancang ubah EMD jadi empangan harian

Iklan
Empangan Mengkuang akan diubah daripada empangan rizab kemarau strategik kepada empangan harian.

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang membuat perancangan untuk mengubah Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai Tengah (SPT) daripada empangan rizab kemarau strategik kepada empangan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata, rancangan itu bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air tidak berjadual di seluruh negeri apabila kekeruhan tinggi air mentah dari Sungai Muda mengancam operasi air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain itu, objektif rancangan tersebut adalah untuk merawat air dari empangan terbesar Pulau Pinang setiap hari, bagi menyokong pertambahan permintaan air di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

"Pada asasnya, ini bermakna air mentah yang disimpan di EMD akan tersedia untuk pengeluaran harian dan kecemasan, apabila paras air Sungai Muda rendah ketika musim kemarau atau apabila kualiti air Sungai Muda terjejas dan tidak boleh dirawat.

Iklan

"Dengan perubahan ini, EMD akan berfungsi seperti Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di bahagian pulau. PBAPP merancang untuk membuka potensi penuh EMD, empangan terbesar di Pulau Pinang, untuk mengurangkan risiko bekalan air dan menangani permintaan air yang semakin bertambah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, dalam tempoh Julai hingga September 2022, PBAPP melaporkan tiga insiden kekeruhan air mentah yang tinggi dari Sungai Muda.

Iklan

Kata beliau lagi, kemungkinan punca fenomena itu adalah tiga kejadian banjir kilat yang dilaporkan di Baling, Kedah di bahagian hulu muka sauk PBAPP Lahar Tiang.

"Pada Julai 2022, air yang sangat keruh dari Sungai Muda memaksa PBAPP menghentikan tugas LRA Sungai Dua (LRA terbesar Pulau Pinang) menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual seluruh negeri selama enam hari. Untuk meminimumkan risiko berulang, PBAPP bercadang untuk menghentikan sementara abstraksi air mentah dari Sungai Muda apabila kejadian seperti itu berulang pada masa hadapan.

"Bagaimanapun, LRA Sungai Dua mesti mempunyai akses berterusan kepada kira-kira 1,000 JLH air mentah dari Empangan Mengkuang bagi mengelak gangguan bekalan air seluruh negeri. Oleh itu, PBAPP akan membangunkan kapasiti untuk melepaskan 1,000 juta liter sehari (JLH) dari Empangan Mengkuang pada masa hadapan, apabila kualiti air mentah Sungai Muda terjejas," katanya.

Sementara itu, untuk menyelesaikan krisis air di SPS pula, Jaseni berkata, perancangan juga sedang dijalankan untuk membina LRA Empangan Mengkuang 114 JLH baharu di lokasi berdekatan EMD.

Katanya, LRA itu dijadualkan untuk pengoperasian menjelang Disember 2025.

"Kawasan liputan LRA Empangan Mengkuang ialah Seberang Perai Utara (SPU) dan perbandaran Bukit Mertajam yang berdekatan. Apabila LRA ini beroperasi, PBAPP juga akan dapat membebaskan dan menyalur air terawat tambahan dari LRA Sungai Dua ke Seberang Perai Selatan (SPS).

"PBAPP juga merancang untuk membina satu lagi LRA baharu 114 JLH berhampiran Sungai Kerian (di sempadan selatan Pulau Pinang dan Perak) bagi menangani keperluan air masyarakat SPS. LRA Sungai Kerian yang dicadangkan dijadualkan untuk pengoperasian pada Disember 2026," katanya.

Empangan Mengkuang asal telah dibuka pada tahun 1985 dengan kapasiti efektif maksimum asalnya adalah 22.3 bilion liter air mentah.

Air mentah dipam dari Sungai Kulim melalui rumah pam Mak Sulong ketika musim hujan untuk pelepasan bekalan air ketika musim kemarau.

Pada 9 Januari tahun lalu, EMD dirasmikan selepas kapasiti efektif maksimumnya dinaikkan kepada 86.4 bilion liter.