Penunggang motosikal paling ramai ingkar lampu isyarat

Iklan
Operasi Khas Lampu Isyarat Merah dijalankan bermula 15 hingga 30 September di 1,659 lokasi di seluruh negara.

KUALA LUMPUR - Penunggang motosikal paling tinggi dikesan atas kesalahan tidak patuh lampu isyarat sepanjang tempoh 16 hari operasi pada September lalu di seluruh negara.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Operasi Khas Lampu Isyarat Merah itu dijalankan bermula 15 hingga 30 September lalu di 1,659 lokasi membabitkan kekuatan 1,541 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 71,069 kenderaan telah diperiksa dengan 16,163 saman dikeluarkan di bawah Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat).

"Selain itu, 24,276 saman juga telah dikeluarkan bagi lain-lain kesalahan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Noorsiah berkata, dalam operasi itu juga, polis telah membuat enam tangkapan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapan tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta 13 tangkapan individu yang memiliki waran tangkap saman trafik.

Beliau berkata, sebanyak 75 kenderaan pelbagai jenis turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

Tegasnya, pihak polis memandang serius sikap dan trend pengguna jalan raya yang mewujudkan risiko kemalangan ekoran tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat.

"Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya," ujarnya.