PASKAL sentiasa dilengkapi peralatan terkini

Iklan
PASKAL sentiasa mengadakan latihan bersama dengan pasukan elit dari negara luar. - Foto Bernama

LUMUT - Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa dilengkapkan dengan peralatan terkini bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Panglima PASKAL, Laksamana Pertama Datuk Mohd Redzuan Talib berkata, pihaknya akan memastikan peranan PASKAL sebagai tonggak utama mempertahankan ruang maritim negara selain sebagai perisai yang melindungi rakyat dan kemakmuran negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PASKAL sentiasa mengadakan latihan bersama dengan pasukan elit dari negara luar seperti Navy Seal Amerika Syarikat dan SAS Australia.

"Tugas PASKAL menuntut pembangunan keupayaan peralatan seiring arus kemodenan teknologi semasa dan kita ada hala tuju tersendiri yang menerapkan kemahiran mapan sejajar evolusi semasa.

Iklan

"Kita yakin peningkatan keupayaan anggota PASKAL berasaskan teknologi akan dapat melahirkan warga Paskal yang terlatih, kompeten dan bersedia menghadapi sebarang ancaman," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Ulang Tahun PASKAL ke-40 dekat sini pada Sabtu.

Terdahulu ketibaan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abg Aziz di majlis sambutan itu di KD Panglima Garang pada 9 pagi disambut Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Iklan

Sementara itu Pengerusi Persatuan Veteran Paskal, Laksamana Madya (B) Datuk Nasaruddin Othman berkata warga PASKAL berbeza daripada pasukan khas lain dimiliki negara.

"Kalau ikutkan memanglah amat berbeza zaman kami dahulu dari segi teknologi serta kelengkapan, namun jika ditanya kepada mereka yang pernah bergelar anggota PASKAL, sudah pasti ia menjadi kebanggaan dan satu kepuasan buat mereka.

"Pengalaman setiap anggota pasti berbeza namun kita sedar tugas yang diamanahkan menuntut pengorbanan dan tanggungjawab yang besar dalam memikul misi negara," katanya. - Bernama