[VIDEO] MKT UMNO mahu Parlimen bubar dalam masa terdekat, PRU15 tahun ini

Iklan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam Jumaat mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

"Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketaan dalaman politik sesama mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Jumaat.

Iklan

Ujar Ahmad Maslan, semua jentera parti di setiap peringkat diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU15.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat juga menyambut baik keputusan kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Iklan

"Mesyuarat juga menggesa agar laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk 'My Story: Justice In the Wilderness' untuk segera didedahkan kepada umum.

"Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009," ulasnya.

Tambahnya, UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 15 Mei lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara.