'Saya tak tahu bila Parlimen bubar' - Azhar

Iklan
Azhar (dua dari kanan) pada majlis ramah mesra bersama media di bangunan Parlimen pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menegaskan bahawa beliau tidak tahu bila Parlimen akan dibubarkan meskipun ketika ini sudah timbul desas-desus bahawa Dewan Rakyat akan dibubarkan pada awal Oktober.

Azhar berkata, beliau tidak mendapat sebarang maklumat berhubung perkara itu dan tidak terbabit dalam perbincangan untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

Iklan
Iklan

"(Perkara itu) tidak akan dibincangkan (dengan saya). Saya tak dengar apa-apa (berhubung perkara itu),” katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra beliau bersama media di bangunan Parlimen pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang desas-desus yang mengatakan tarikh pembubaran Parlimen akan dibuat dalam masa terdekat iaitu selepas pembentangan Bajet 2023 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan

Bajet 2023 pula dijadual dibentangkan di Parlimen pada Jumaat depan.

Sebelum ini isu pelaksanaan PRU15 pada hujung tahun iaitu ketika musim tengkujuh menimbulkan polemik kerana beberapa negeri berisiko dilanda banjir.

Iklan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Ahad lalu pula dilaporkan berkata, pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibuat tidak serentak bukan sahaja menjadikan kos PRU15 naik mencecah RM2 bilion malah menyusahkan rakyat.