Urus ibu hidap demensia seperti bayi baru lahir

Iklan
Gambar hiasan 123rf

KISAH seorang negarawan menghidap demensia yang dilaporkan pada awal bulan ini begitu menyentuh hati Merak Jalanan.

Merujuk definisi, demensia antara lain mempengaruhi kemampuan fungsi kognitif otak seseorang dalam mengingati, berfikir, bertingkah laku dan berbicara.

Iklan
Iklan

Merak Jalanan memahami apa yang dilalui oleh ahli keluarga tokoh itu. Ini kerana Merak Jalanan mempunyai ibu yang berdepan situasi sama.

Segalanya bermula dengan strok hingga beliau hilang keupayaan bergerak. Kemudian, secara perlahan-lahan ibu Merak Jalanan disahkan menghidap demensia.

Iklan

Pada asalnya, kami satu famili sukar menerima perubahan mendadak beliau. Masakan tidak, wanita yang kami cintai merupakan bekas jururawat yang mengerti segenap perkara tentang kesihatan.

Kalau orang kampung kami sakit, mereka akan merujuk ibu Merak Jalanan untuk mendapatkan nasihat sebelum berjumpa doktor.

Iklan

Daripada banyak hal, paling menyedihkan, beliau hanya mengingati tentang peribadi anak-anaknya setakat tahun 2006 dan ke bawah.

Untuk mudah faham, ibu masih berfikir yang Merak Jalanan bujang walau sudah hampir 10 tahun berkahwin.

Setiap kali kami berjumpa juga, ibu akan minta untuk mencuci gelang emasnya memandangkan kedai emas hanya terletak di bawah rumah sewa Merak Jalanan. Ini merupakan permintaan terakhirnya sebelum beliau sakit. Bayangkan, sudah 16 tahun menyuruh hal sama.

Ibu juga tidak akan ingat sama ada dirinya sudah makan atau belum. Kerap mengulangi pertanyaan dan permintaan serta sering memohon kemaafan.

Dalam tempoh hampir dua dekad, adik beradik Merak Jalanan secara bergilir-gilir menguruskannya. Bukan sahaja dari segi menyuap makanan, memakai baju dan lampin, menyikat rambut, malah meletakkannya pada posisi betul ketika mahu tidur.

Pendek kata, kami uruskan ibu tersayang umpama seperti bayi baru lahir.