Tapak rumah kedai terbakar akan dibangunkan semula

Iklan
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) melihat deretan 12 rumah kedai di Kampung Cina di sini, yang hangus dalam kebakaran pada malam Ahad.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu berhasrat untuk membangunkan kembali kawasan deretan kedai di Kampung Cina yang musnah dalam kebakaran pada malam Ahad.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu bagi memastikan kawasan yang menjadi warisan, pelancongan dan sebahagian sejarah di Kuala Terengganu tidak terjejas akibat kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, rancangan pembangunan semula tapak bangunan terbakar yang dijangka mengekalkan keaslian warisan itu bakal dibincangkan bersama sebahagian pemilik bangunan.

"Kita kena yakinkan pemilik peribadi ini supaya kerajaan boleh bantu dengan cara tertentu supaya dikekalkan suasana ini. Ia tidak boleh selesai dalam sekelip mata tapi kita akan cuba bantu," katanya selepas mengunjungi tapak kebakaran di Kampung Cina, di sini pada Selasa.

Iklan

Pada kunjungan itu, beliau turut menyampaikan bantuan tambahan RM2,000 kepada semua mangsa yang terlibat dalam kebakaran deretan kedai berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Samsuri turut berharap pemilik bangunan warisan di negeri ini dapat meningkatkan tahap keselamatan termasuk memeriksa sistem pendawaian elektrik dari masa ke semasa.

Iklan

Beliau berkata, langkah tersebut penting untuk mengelakkan bangunan-bangunan lama yang mempunyai ciri-ciri warisan di negeri ini terbakar.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan memberi penerangan, taklimat dan sebagainya perkara-perkara yang perlu kepada penduduk di kawasan ini dan tempat lain supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan deretan 12 rumah kedai di Kampung Cina di sini, hangus dalam kebakaran pada malam Ahad.

Insiden kebakaran itu menyebabkan lima rumah kedai 100 peratus terbakar, sebuah rumah kedai (90 peratus terbakar) manakala selebihnya melibatkan kebakaran 50 dan 30 peratus.

Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 8.42 malam yang melibatkan kedai kain, kedai jahit, kedai emas, kedai makan serta penginapan itu.