Pendakwaan buktikan intipati pertuduhan Bung Moktar, Zizie Izette

Iklan
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tiba Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur jam 2.20 petang bagi mendengar keputusan samaada dibebas atau dipanggil bela diri daripada pertuduhan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta. - Foto Sinar Harian/ ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – Pendakwaan bagi kes rasuah membabitkan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, berjaya membuktikan intipati pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rozina Ayob berkata, susulan itu, Ahli Parlimen Kinabatangan dan Zizie Izette diperintah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Iklan
Iklan

Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan serta hujahan semua pihak, beliau berkata, mahkamah mendapati, intipati pertuduhan berjaya dibuktikan pada tahap prima facie.

Beliau berkata, bagi tertuduh pertama iaitu Bung Moktar, semua intipati pertuduhan bawah Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berjaya dibuktikan.

Iklan

"Ia turut membabitkan elemen wang berjumlah RM2.8 juta diperoleh melalui tertuduh kedua iaitu Zizie Izette.

"Ia sebagai dorongan bagi melakukan perbuatan dengan hal ehwal prinsipal untuk mendapatkan kelulusan dari Menteri Kewangan II untuk Felcra Bhd untuk membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, hakim ini turut menyentuh isu yang ditimbulkan oleh pasukan pendakwaan berhubung keterangan saksi pendakwaan ke-24 (SP-24), Madhi Abdul Hamid dan (SP-25), Norhaili Ahmad Mokhtar.

Selepas mendengar keterangan dua saksi itu serta hujahan semua pihak, beliau berkata, meskipun terdapat percanggahan antara rakaman percakapan dengan keterangan lisan di mahkamah, mahkamah mendapati ia tidak memberi kesan kepada pertuduhan-pertuduhan itu.

Namun katanya, mahkamah mengambil maklum isu tersebut dan menerima keterangan lain SP24 dan SP25 yang dikemukakan di mahkamah ini.