PM ingatkan negara mungkin 'dijajah' semula

Iklan
Ismail Sabri. Foto Bernama

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat bahawa negara mungkin 'dijajah' semula jika nikmat kemerdekaan yang diperjuangkan oleh wira-wira terdahulu tidak pertahankan.

Beliau berkata, di era modenisasi ini, bentuk penjajahan tidak lagi sama seperti era kolonial dan ia berbentuk baharu.

Iklan
Iklan

"Bentuk penjajahan moden muncul ketika ini dan semua negara di dunia terkena dampaknya, yakni penjajahan baharu dalam bidang ekonomi, teknologi dan budaya. Anasir luar ini menggunakan pelbagai cara untuk menjajah semula dalam bentuk yang lebih canggih.

"Meskipun ancaman penjajahan baharu ini bukanlah dari segi fizikal, namun ia sangat berbahaya dan merupakan cara paling mudah untuk menjarah minda dan jati diri bangsa, seterusnya mampu menghancurkan sesebuah negara," katanya ketika menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan 2022 yang disiarkan secara langsung di televisyen pada malam Selasa.

Iklan

Justeru itu, Ismail Sabri menegaskan, hanya rasa cinta kepada negara membolehkan seluruh rakyat terus bekerjasama dan bersatu padu untuk mempertahankan nilai-nilai kedamaian, keamanan dan kemerdekaan bagi membangun dan menjaga kedaulatan negara.

"Adat bersaudara, saudara dipertahankan; Adat berkeluarga, keluarga dilindungi; Adat berkampung, kampung dijaga; Adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan; Sesungguhnya kita semua satu keluarga; Keluarga Malaysia penyambung warisan.

Iklan

"Selamat menyambut dan meraikan Hari Kebangsaan 2022. Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Dirgahayu Tanah Airku! Merdeka! Merdeka! Merdeka!," ujarnya.

Ismail Sabri menambah, rahmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini juga adalah hasil perjuangan titisan darah, keringat dan air mata malah tidak terhitung banyaknya nyawa yang terkorban dan tidak terkira nilai kerugian harta benda dalam mencapai sebuah erti kemerdekaan.

"Ketika perjuangan menentang penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun, ramai pejuang yang aulia rebah demi mempertahankan pertiwi. Nama-nama seperti Mat Kilau, Datuk Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Rentap, Datuk Maharajalela, Dato’ Sagor, Abdul Rahman Limbong, Datu Mat Salleh, Rosli Dhobi adalah antara tokoh yang telah berkorban demi tanah air tercinta.

"Mat Kilau pernah berpesan; perjuangan mesti diteruskan oleh generasi muda, jangan biar tanah air tergadai, jangan sesekali mudah dipicit sehingga terbelah dua.

"Kalau beragama, jangan sekadar pakaiannya (syariat), biar tentu bersih juga tubuhnya (hakikat). Kalau belajar, jangan sekadar ilmunya, biar tentu kukuh juga adabnya. Kalau beramal, jangan sekadar ayatnya, biar tentu juga berbulat dengan rahsiaNya. Itulah antara amanat Pahlawan Mat Kilau yang boleh dijadikan sebagai azimat," tegas beliau.