2 bot nelayan Vietnam ditenggelamkan untuk dijadikan tukun

Iklan
Bot nelayan Vietnam yang dilupuskan dengan menenggelamkannya sebagai tukun tiruan berhampiran Pulau Bidong pada Selasa. Foto: Maritim

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melupuskan dua bot nelayan Vietnam yang dilucut hak dengan cara menenggelamkannya untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran Pulau Bidong pada Selasa.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pelupusan dua bot sebagai tukun tiruan itu merupakan sumbangan pihaknya kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi aktiviti penyelidikan kajian akademik di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, bot tersebut ditahan dan dilucutkan hak oleh mahkamah sepanjang tahun lepas atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

"Ini merupakan pelupusan kesembilan dalam tahun ini oleh Maritim Terengganu dan dijangkakan terdapat 40 bot lagi bakal ditenggelamkan pada tahun ini setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Iklan
Bot nelayan Vietnam yang dilupuskan dengan menenggelamkannya sebagai tukun tiruan berhampiran Pulau Bidong pada Selasa. Foto: Maritim

Selain UMT, program pelupusan bot tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Muhammad Suffi berkata, sehingga kini, 144 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan negeri ini oleh Maritim Terengganu dengan anggaran nilai keseluruhan RM216 juta.

Iklan

"Kaedah menenggelamkan bot sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

"Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu,” katanya.