Lebih 1,000 lokasi cerun berbahaya dikenal pasti

Iklan
Fadillah (kiri) meninjau kerja pembaikan cerun di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di daerah Kinta, di sini sempena Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0, pada Sabtu. - FOTO TWITTER FADILLAH YUSOF

IPOH - Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengenal pasti 1,045 kawasan cerun berbahaya di sepanjang laluan Jalan Persekutuan di Semanjung Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pemantauan dan penyelenggaraan cerun-cerun tersebut dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan tidak bertambah buruk.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, keadaan cerun menjadi semakin teruk disebabkan ancaman pertanian haram yang dilakukan selain faktor cuaca tidak menentu.

"Bagi tahun 2022, sebanyak RM220 juta diperuntukkan bagi penyenggaraan dan pembaikan cerun di mana RM160 juta untuk Semenanjung dan RM40 juta bagi Sabah dan Sarawak.

Iklan

"Walaupun tak mencukupi kita akan laksanakan berdasarkan apa sahaja peruntukan kita dapat," katanya kepada pemberita selepas Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, di sini pada Sabtu.

Fadillah berkata, JKR bersama-sama syarikat konsesi sentiasa memantau keadaan cerun menggunakan teknologi sensor bagi melihat sama ada terdapat pergerakan tanah atau sebaliknya.

Iklan

Menurutnya, mereka juga telah bersiap sedia dengan prosedur operasi standard (SOP) jika berlaku sebarang runtuhan atau pergerakan tanah.

Jelasnya, perkara penting adalah kerjasama semua pihak dalam memantau dan menjalankan penguatkuasaan terhadap penerokaan haram pertanian yang memberi kesan kepada bukan sahaja alam sekitar tetapi jalan serta cerun.

"Jalan kita terdedah ancaman disebabkan pertanian haram ada ladang-ladang yang telah memasuki kawasan rizab di mana aliran air yang tidak terkawal menyebabkan takungan air yang menyebabkan tepi jalan jadi lembut, cerun lebih mendedahkan bahaya dan risiko runtuhan tanah dan jalan terputus.

"Yang lebih utama pemantauan dan penguatkuasaan selain mendidik rakyat untuk jaga persekitaran dan patuhi peraturan elak runtuhan cerun lebih buruk," katanya.

Jelas beliau, jika tindakan penguatkuasaan dan pemantauan tidak dilaksanakan, peruntukan lebih besar akan diperlukan sekiranya berlaku runtuhan yang menyebabkan jalan terputus.